Adik kesayangan yang banyak memberi inspirasi dan kekuatan hati

Jun 15, 2017

Assalamualaikum dan salam 20 Ramadhan. Allahhuakhbar, dah masuk ke 20 Ramadhan dah. Tinggal lagi 10 malam sahaja. Semoga ramadhan tahun ini beroleh keberkatan untuk mencari malam Lailatulqadar.

Hari ni akak omei nak berkongsi kisah mengenai adik kesayangan akak omei. Nama dia Nurhidayah. Bermaksud Cahaya Petunjuk. Sedap kan nama tu. Mak akak omei yang berkenan sungguh dengan nama tu. Sedap dan cantik serta mudah dipanggil. Takde la nak tergeliat lidah menyebutnya. Hehehe..

Korang nak tahu, dia lahir tepat-tepat azan maghrib berkumandang. Masa tu di kampung, tengah-tengah empangan timah tasoh tu la. Mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa sebelum terjadinya empangan timah tasoh, di situ la rumah tok dan tok wan akak omei. Di situ juga tempat kelahiran akak omei dan Nurhidayah. Sekarang, hanya tinggal nama sahaja.

Dulu-dulu, orang bersalin di rumah jer. Yang mana dekat dengan hospital je baru bersalin di hospital. Itupun bukan semua. Dulu-dulu juga ada bidan kampung dan juga bidan kerajaan. Bidan kerajaan ni yang pakai line kaler hijau. Sekarang ni kalau ada pun tak ramai dah.


Nurhidayah ni sewaktu kecil sangat aktif orangnya. Tidak reti duduk diam. Akak omei paling banyak kenangan dengan Nurhidayah. Di rumah akak omei panggil adik kesayangan dengan panggilan angah jer. Angah ni apa yang tidak pernah kena. Kaki tersepit di celah tiang, kepala tersangkut di kusyen rotan, kepala tersangkut di celah besi dan macam-macam lagi la.

Bila teringat balik, terasa lucu di hati. Akak omei dengan angah berkongsi katil. Almaklum dulu-dulu mak beli katil double decker. Akak omei kena naik atas. Huhuhuhu... Katil besi tu masih ada sampai sekarang. Memang legend la. Hehehehe...

Angah ni seorang yang suka bercakap. Ada sahaja benda yang hendak di huraikan. Sangat mudah mendapat kawan. Sewaktu keluarga akak omei tinggal di Kuala Lumpur, akak omei dengan angah pernah memasuki pertandingan membaca Al-Quran. Akak omei kalah dengan angah. Namun, itu adalah sangat-sangat menggembirakan akak omei kerana angah mampu buat lebih baik lagi. Dulu-dulu ustazah rajin calonkan nama akak omei untuk memasuki pertandingan membaca Al-Quran.

Ustazah yang mengajar akak omei dengan angah pun dulu garang tau. Kecut perut jugak la. Tapi, akak omei puas sangat sebab ustazah mengajar dengan penuh perhatian. Disebabkan itulah, akak omei tahu serba sedikit mengenai tajwid. Dulu ada buku dia, kena godek dalam stor kat rumah mak la nanti. Tapi sekarang tiada lagi dah ustazah haida. Telah pun pergi meninggalkan dunia yang fana ini beberapa tahun sebelum ni. Al fatihah..


Berbalik kepada kisah angah, setelah beberapa lama tinggal di Kuala Lumpur, tiba-tiba abah akak omei dapat tukar ke negeri kedah. Alhamdulillah, dapat la balik kampung tiap-tiap minggu. Masa tu kami semua menyewa di Alor Merah. Dekat jer dengan sekolah rendah. Di situ angah menyambung belajar di tahun enam. Alhamdulillah, angah dapat keputusan cemerlang. Angah dapat 5A.

Menangis kegembiraan kami semua. Angah memang seorang yang kuat semangat. Suka membantu orang yang memerlukan. TAPI.........

Permohonan angah ingin ke Sekolah Agama Kedah tidak berjaya. Ini telah mengecewakan angah. Akak omei dengan mak beri semangat kepada angah. Belajar di mana-mana pun tidak menjadi masalah, yang penting kuat berusaha. Ada hikmah yang berlaku sebenarnya.

Rupanya, adik kesayangan akak omei ni ingin diambil semula oleh Penciptanya. Sebab itu permohonan angah tidak berjaya. Allah nak kami sentiasa dekat dan dapat melihat satu sama lain di depan mata.


Masih teringat lagi, angah sentiasa demam. Sekolah dua tiga hari, lepas tu demam. Klinik swasta dah berapa kali pergi. Namun, selepas beberapa ketika kelihatan bintik-bintik merah di badan. Nak kata demam campak atau chicken pox, bukan sebab bintik tu berada di bawah kulit. Berubat secara kampung pun sudah.

Angah sakit tak lama. Sekejap jer. Masuk wad dua malam. Mak dengan abah yang berulang menjaga. Akak omei masa tu tingkatan 5, tengah gelut dengan peperiksaan SPM. Tiba-tiba akak omei dikejutkan dengan bunyi motosikal abah akak omei di sekolah. Menangis tau. Sepupu akak omei yang sekelas pun turut sama. Cikgu-cikgu banyak beri kata-kata semangat.

Rupa-rupanya, abah akak omei datang ke sekolah kerana hendak mengambil surat daripada pejabat sekolah. Angah di masukkan ke dalam ICU. Dengar nama ICU pun dah gerun. Doktor terpaksa tidurkan angah bagi mengurangkan kesakitannya. Sedih hati akak omei melihatnya. Akak omei pegang dan cakap di telinga supaya angah kuat. Tiba-tiba air mata angah meleleh keluar. Dia dengar. Ya Allah, kuatkan hati aku untuk hadapi semua ini. Itulah doa yang selalu akak omei ucapkan.


Pagi hari jumaat, bersamaan dengan 7 hb Ogos 1998, mak akak omei telefon ke rumah mak sedara untuk meminta kami semua membaca Surah Yassin kerana tekanan darah angah semakin menurun. Hujan renyai-renyai membasahi bumi. Akak omei pantas melakukannya sambil berdoa supaya angah cepat sembuh kerana ada banyak lagi plan yang belum terlaksana.

Akak omei dengan angah sangat rapat. Kami berkongsi cerita dan rahsia. Tak putus-putus berdoa. Tengahari tu, mak telefon bagitahu tekanan darah angah dah semakin menaik balik. Alhandulillah, syukur sangat-sangat kepada Allah.

Seperti biasa, akak omei akan melawat pada setiap lawatan di waktu petang. Masa akak omei masuk ke dalam ICU tu, akak omei dah pelik tengok nombor yang tertera tu menurun daripada semalam. Masa tu tak tahu pun lagi mesin bagai tu. Seperti biasa, akak omei bagi salam dan beri kata-kata semangat pada angah. Air mata angah mengalir keluar. Akak omei terpempan waktu tu sebab rasa lain sangat. Namun tak terucap.


Selepas habis lawatan, akak omei balik ke rumah tok di anak bukit. Sepanjang angah masuk wad, kami berkampung di anak bukit. Tengah-tengah menonton berita, tup-tup sepupu akak omei menjerit memanggil nama akak omei. Akak omei masih ingat lagi bait kata-katanya.

"Kak Ana, Dayah dah tiada"

Akak omei marah sepupu akak tu. Memang tak percaya la, sebab baru pergi melawat je kot. Sepupu akak omei kata kat akak omei,

"Kak Ana pergi tanya tok"

Tanpa berlengah, akak omei terus mencari tok yang baru sahaja selesai solat. Akak omei minta kepastian. Apabila tok akak omei anggukkan kepala, akak omei menangis teresak-esak. Lepas ni tiada lagi telinga untuk mendengar masalah akak omei, tiada lagi dapat berkongsi apa sahaja. Tok akak omei nasihat pada akak omei supaya banyakkan bersabar. Ada hikmahnya semua yang berlaku. Kita ni hanyalah pinjaman. Sampai masa kita pun akan ke Sana.


Lahirnya menyambut azan maghrib, perginya di hujung-hujung maghrib. Itulah dia kisah adik akak omei. Kini, walaupun telah 19 tahun berlalu, terasa baru semalam je berlaku. Disepanjang menulis pun, air mata membanjiri hati dan pipi. Walaupun beza umur 4 tahun, kami memang rapat tambahan pula lahir dalam bulan yang sama.

Al-fatihah buat arwah Nurhidayah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Tunggu along di sana ye....

Demikian secebis kenangan yang masih kukuh terpahat di hati. Sukar dilupakan.

Demikian kisah akak omei kali ini. Ada masa lagi, akak omei menulis lagi ye. Assalamualaikum...


You Might Also Like

0 ulasan