Sabtu, 24 Oktober 2015

Kebersihan oral memancarkan senyuman yang memukau sukma pada yang memandang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kembali pada hari yang mulia ini.  Di harap anda menjaga kesihatan diri semasa jerebu ini. Banyakkan minum air suam ye... Sekurang-kurangnya anda tidak mudah mendapat sakit tekak ataupun batuk dengan keadaan kualiti udara yang tercemar ini.

Kali ini saya ingin berkongsi info dengan anda mengenai kebersihan oral. Tahu tak apa itu oral? Bukan iklan Oral B tu ye, itu berus gigi. hihihihihihi..... Pasti semua orang mendambakan kesempurnaan diri terutamanya raut wajah. Kulit licin tanpa berjerawat, bibir merah delima tanpa berkeping dan juga susunan gigi yang cantik dan putih bersih. Namun sedarkah anda bahawa kecantikan luaran semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan penjagaan gigi, gusi dan keseluruhan dalaman mulut secara berterusan.





Tidak sempurna wajah seseorang jika gigi berlubang di sana sini, gusi berpenyakit serta mulut berbau. Ia memang memalukan. Di sini saya sertakan tip dan panduan penjagaan oral dengan lebih sempurna.






Mengapa perlunya penjagaan yang rapi?

Penjagaan oral yang baik disertakan dengan cara yang betul mampu mengelakkan penyakit-penyakit seperti karies gigi, bau mulut dan penyakit gusi. Masalah-masalah sebegini selalunya terjadi akibat sikap kurang peka individu terhadap apa sahaja perubahan yang berlaku di dalam mulut. Disebabkan ini juga, masalah yang kecil pada mulanya boleh menjadi lebih serius.


Penjagaan di rumah 


Memberus gigi



  • Pemilihan berus gigi haruslah bersesuaian dengan setiap individu kerana setiap individu mempunyai saiz atau bukaan mulut yang berlainan. Mungkin ramai yang tidak menyedari hal ini.
  • Bagi yang mempunyai saiz mulut yang kecil umpamanya, pemilihan berus gigi yang bermuncung tirus adalah digalakkan supaya gigi bahagian belakang juga dapat dibersihkan dengan sempurna. Bagi mereka yang mempunyai saiz atau bukaan mulut yang agak luas, pemilihan berus gigi yang berbentuk segi empat di bahagian hujungnya juga boleh digunakan.

  • Dari segi pemilihan jenis berus, kebanyakan doktor gigi mencadangkan berus jenis 'soft' (lembut). Berus jenis 'medium' juga boleh digunakan manakala jenis 'hard' tidak berapa digalakkan kerana ia boleh mendatangkan masalah kepada bahagian dalam mulut terutamanya jika diberus dengan cara yang agak kasar. Ini akan mengurangkan lapisan enamel pada gigi.
  • Memberus gigi sebanyak dua kali sehari sudah memadai. Itupun jika ianya dilakukan dengan cara yang betul. Selain itu, memberus dengan baik dapat mengurangkan plak yang mengundang kepada pembentukan tatar, seterusnya boleh menyebabkan penyakit gusi. 

  • Gunakan ubat gigi berflourida.

Cara memberus gigi dengan betul

  • Arahkan berus gigi pada sudut 45 darjah ke permukaan gusi.

  • Gerakkan (gosok) berus gigi ke depan dan ke belakang secara berputar pada permukaan gigi.

  • Berus permukaan luar gigi, permukaan dalam gigi dan pada permukaan atas (permukaan kunyah) gigi.

  • Gunakan bahagian hujung berus gigi untuk memberus bahagian permukaan dalam gigi depan , gerakkan ke atas dan ke bawah.

  • Jangan lupa memberus lidah untuk membuang bakteria bagi mendapatkan nafas yang segar.

Penggunaan Flos


  • Gunakan flos sekurang-kurangnya sekali sehari. Ia penting bagi mengelakkan pengumpulan plak atau bakteria pada celah-celah gigi.

  • Amalan penggunaan flos digalakkan seawal usia 13 tahun dan ke atas.

  • Flos boleh didapati dalam pelbagai jenis termasuklah dari segi ketebalan dan perisa. Anda bebas memilih mengikut kesukaan anda.



Cara menggunakan flos yang betul


  • Putuskan flos sepanjang 18 inci dan lilitkan keliling jari tengah. Lilitkan hujung satu lagi pada jari tengah tangan bertentangan.

  • Kawal flos dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.

  • Kawal flos di antara gigi secara perlahan. Jangan 'paksa' flos ke dalam gusi.

  • Apabila flos berada pada permukaan gusi, arahkan flos mengikut bentuk gigi pada ruang di antara gusi dan gigi.

  • Kawal flos, dan gerakkan flos pada permukaan sisi gigi dari gusi ke atas dan ke bawah.

  • Ulangi langkah untuk setiap gigi.

  • Jangan lupa sisi gigi geraham belakang.

  • Jika tidak pasti, sila minta bantuan doktor gigi anda untuk menunjukkan cara penggunaan flos yang betul.


Amalan pemakanan


  • Makanlah makanan yang dapat memberi manfaat pada tulang dan gusi seperti Vitamin B dan C untuk kesihatan gusi dan Vitamin D seperti keju dan susu untuk tulang rahang dan gigi. Selain itu, daging merah dan ikan pula dapat membantu membekalkan zat magnesium dan zat besi untuk kesihatan gigi.
  • Makanan seperti susu dan keju dapat meningkatkan pH dalam mulut (pH yang normal adalah 7 ke atas) selain mengurangkan keasidan dalam mulut anda. Ia juga dapat meningkatkan kalsium dan fosfat seterusnya dapat menggalakkan remineralisasi gigi.

  • Air liur penting untuk proses pembersihan mulut. Dengan mengambil sesetengah makanan tinggi serat , ia dapat meningkatkan aliran air liur dalam mulut anda. Mengunyah gula-gula getah juga dapat membantu dalam hal ini tetapi pilihlah yang tanpa gula (sugarless).

Penjagaan profesional


Untuk penjagaan yang lebih sempurna, berjumpalah dengan pakar/doktor gigi sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Di sana, doktor akan memeriksa keadaan atau kebersihan mulut anda, memeriksa jika wujud sebarang masalah gigi, gusi atau masalah-masalah lain.

Jika perlu, rawatan-rawatan seperti 'scalling', 'polishing' dan sebagainya perlu dilakukan. Doktor juga mungkin menyarankan anda membuat rawatan atau pemeriksaan secara lebih kerap jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi.


Tip bagi ibu mengandung dan individu yang berpenyakit


Bagi wanita yang sedang hamil, perubahan hormon akan menyebabkan gusi anda lebih sensitif. Penyakit gusi dan kaviti juga mudah berlaku. Selain itu, disebabkan kekurangan mineral dan nutrien dalam tubuh, ia akan memberi kesan pada keadaan dalam mulut anda. Jadi, sebaik-baiknya lakukanlah pemeriksaan gigi bagi mengenalpasti dan mengelakkan sebarang kerumitan yang berlaku sepanjang tempoh kehamilan.




Bagi golongan yang berpenyakit atau yang sedang dalam rawatan pula, pemeriksaan gigi tidak seharusnya diabaikan kerana bakteria yang wujud dalam mulut boleh merebak ke bahagian lain seperti jantung umpamanya. Dengan pemeriksaan awal, masalah seperti ini dapat diatasi.


Banyak info-info yang saya kongsikan dengan anda semua berkenaan dengan penjagaan oral. Walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan kesabaran yang tinggi juga. Cara memberus gigi juga amat penting. Hendak pilih jenis berus pun penting juga tau. Bukan boleh main ambil sahaja. Ada jenis, bentuk dan rupa yang bermacam-macam.


Sampai di sini dahulu coretan saya. Ada masa saya update lagi ye... Assalamualaikum


Sumber : rapi dis 07

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mewar warkan supplement yang sesuai untuk penjagaan gigi kita. Bukan setakat gigi sahaja, tetapi termasuklah gusi dan nafas berbau. Mana tahu berguna nanti. Apa-apa pun sudi-sudilah untuk melihatnya. Berminat boleh hubungi saya di 016-500 3075 ataupun email ke rosa.pasamana@gmail.com. Semoga info ini dapat membantu walaupun sedikit cuma. Terima kasih.





























Rabu, 21 Oktober 2015

Tip makan pelbagai negara, mana satu pilihan anda?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat sejahtera hendaknya di samping keluarga tercinta. Bagaimana kerja hari ini? Dapat disiapkan mengikut jadual atau tidak? Harapan saya semoga semuanya berjalan lancar, In shaa Allah...

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai makanan jika anda pergi melancong ke negara luar dari Malaysia. Tentunya anda pernah pergi melancong bukan? Di mana tempat itu? Boleh kongsikan tak? Sekurang-kurangnya dapat juga info walaupun tak banyak...

Saat melancong ke negara luar, perkara pertama yang menjadi masalah untuk kita adalah pemilihan makanan yang sesuai dengan perut kita. Jika seminggu berada di luar negara, seminggu jugalah terpaksa menelan roti atau telur. Silap haribulan, boleh gemuk ataupun semakin kurus pulakk...





Tahukah anda, sebenarnya cara yang paling mudah untuk berkenalan dengan budaya setempat adalah melalui makanan. Beberapa negara tertentu turut mengamalkan makanan yang sihat. Dalam buku yang bertajuk "The French Diet:The Secrets of Why French Women Don't Get Fat', karya Michel Montignac dan kajian yang dilakukan ada menyebut, bangsa Asia dan Mediteranian sering mengambil jumlah makanan yang mempunyai kandungan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh.


Sekarang, mari kita lihat tip sihat yang diambil oleh negara yang mengamalkan pemakanan yang sihat.


1. Makanan mengandungi gandum, sayur dan buah-buahan.

Dilakukan di negara : CHINA



  • Di sesetengah negara menu utama dan pelengkap makanan mereka ialah daging tetapi menu makanan di China hanya terdiri daripada sayuran, buahan dan gandum.
  • Menurut Antonia Trichopoulou, professor dari University of Athens Medical School mengatakan masyarakat di China menganggap sayuran dan kacang sebagai makanan utama bukan pelengkap.
  • Menurut penelitian yang lain pula, mengambil tiga bahagian atau lebih gandum, sayuran dan buah setiap hari, dapat mengurangkan risiko serangan strok, jantung dan beberapa jenis penyakit kanser.


2. Nikmati makanan anda

Di lakukan di negara : ITALI, PERANCIS, SEPANYOL dan JEPUN


  • Negara-negara ini sanggup makan berjam-jam lamanya. Ini kerana mereka makan secara perlahan dalam waktu yang teratur setiap hari di tempat yang nyaman dan sesuai.
  • Selain itu, bangsa ini juga sering berkumpul bersama keluarga dan teman untuk menikmati makanan bersama. Secara tidak langsung ia mengeratkan hubungan dan membantu tubuh memproses makanan dengan cepat.

3. Perhatikan jumlah pengambilan makanan.

Di lakukan di negara : PERANCIS dan JEPUN


  • Mengikut kajian University of Pennsylvania, orang Perancis makan sebanyak 25% lebih sedikit daripada orang Amerika. Manakala, orang Jepun mengambil makanan secara sedikit dan makan dalam bentuk mangkuk yang kecil.
  • Contohnya, masyarakat Okinawa akan menyebut 'hara hachi bu' atau '8 dari 10' yang bermaksud mereka akan berhenti makan apabila merasakan perut mereka sudah terisi 80% dan sebelum betul-betul kenyang.


4. Pilih makanan segar

Di lakukan di negara : INDONESIA,JEPUN, ITALI dan PERANCIS



  • Apabila berkunjung ke pasar tradisional di Indonesia, anda pasti melihat pelbagai pilihan makanan segar. Masyarakat di pesisir Danau Toba, contohnya lebih suka makan ikan segar tanpa dimasak seperti orang Jepun.
  • Kajian juga menunjukkan makanan segar mempunyai banyak serat, sedikit kalori, kolesterol baik, rendah garam dan gula.


5. Rempah ratus dalam masakan

Di lakukan di negara : INDIA, CHINA, THAILAND dan INDONESIA



  • Rempah-rempah yang terkandung dalam masakan dapat meningkatkan selera makan. Selain, rasanya yang lazat, rempah-rempah juga mengandungi rendah kalori dan bebas lemak.
  • Beberapa jenis bahan rempah ialah kayu manis, cengkih, kunyit, bawang putih dan lain-lain. Ia juga mempunyai khasiat untuk melawan penyakit dan menurunkan kolesterol jahat dalam tubuh.



Bagaimana? Boleh tak dijadikan panduan apabila anda hendak melancong ke luar negara nanti? Sekurang-kurangnya, kita tahu makanan apa yang menjadi keutamaan mereka dan cara menikmatinya. Bukan semua tempat mempunyai makanan yang sama seperti di Malaysia, tetapi kita boleh belajar cara dan budaya pemakanan mereka. Sesuatu yang sangat bernilai. Saya doakan anda semua dapat melancong ke tempat yang anda idamkan suatu hari nanti.


Sampai di sini dahulu penulisan saya. Ada masa saya updatekan lagi ye... Assalamualaikum....


Sumber : Rapi 1 okt 2009.

Ahad, 18 Oktober 2015

Bahayakah diri kita apabila menghadapi demam ketika berpantang?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kembali kita pada petang yang indah dan damai ini. Di harap anda semua berada di dalam kesihatan dan keceriaan di samping keluarga. Apa yang anda semua lakukan apabila waktu petang begini? Saya lebih suka melihat pemandangan di luar rumah saya. Banyak benda saya dapat lihat. Sambil-sambil tu melayan karenah anak sulung yang semakin membesar dengan kecerdikan dan kenakalan. Hihihihihihihihi.....


Seperti mana yang pernah anda atau saya alami, demam ketika pantang biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman ketika proses kelahiran, oleh itu jangan pandang mudah. Bersegeralah berjumpa doktor. Ramai orang atau wanita menyangkakan bahawa demam ketika dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak adalah proses fisiologi yang biasa. Rupanya di dapati ramai yang hanya membeli ubat di farmasi dan tidak datang untuk melakukan pemeriksaan sehinggalah mereka benar-benar mengalami rasa sakit pada bahagian-bahagian tertentu atau mengalami demam yang terlalu tinggi.




Demam dalam 'tempoh pantang' ini adakalanya berbahaya jika ia adalah sebahagian kesan komplikasi proses melahirkan anak. Di bandar-bandar besar di mana kemudahan kesihatan mudah didapati, selalunya wanita yang demam sebegini dapat dirawat segera. Namun, bagi wanita yang tinggal di kawasan pendalaman dan jauh dari kemudahan kesihatan, demam sebegini boleh membawa maut. Saya sendiri turut mengalaminya. Saya cuba bersalin normal namun tidak berjaya dan terus di tolak ke dewan bedah untuk pembedahan kecemasan. Setelah selesai, pada malam itu, saya demam. Staff nurse yang bertugas, bergegas mencari panadol untuk diberikan kepada saya beserta dengan air milo. Selang beberapa jam kemuadian, Staff nurse tersebut datang kembali untuk memeriksa suhu tubuh saya. Alhamdulillah, sudah kembali normal.


Demam ketika pantang (Postpartum Fever) didefinisikan sebagai suhu badan yang melebihi 38.0 celcius pada sekurang-kurangnya dua hari dalam masa 10 hari selepas melahirkan bayi. Demam sebegini biasanya berlaku dalam masa 24 jam ketika berehat di rumah. Jadi, demam yang melebihi waktu itu selalunya disebabkan oleh masalah lain, berkemungkinan besar tidak ada kaitan dengan proses kelahiran.


Jangkitan kuman


Demam dan rasa sakit ini selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman yang boleh berlaku ketika proses kelahiran sama ada kelahiran normal melalui faraj (vaginal delivery) atau secara pembedahan Cesarean. Ia juga boleh berlaku di sepanjang tempoh menyusukan anak. Walaupun proses kelahiran bayi adalah proses fisiologi yang normal, namun tidak semua wanita dipermudahkan ketika menjalani proses kelahiran. Jadi, kecederaan fizikal boleh berlaku dan selalunya berlaku koyakan di sepanjang saluran kelahiran bayi, sama ada di pangkal rahim atau faraj terutama apabila bayi yang dilahirkan bersaiz lebih besar daripada yang dijangka.

Sesetengah wanita mempunyai luka daripada kecederaan itu yang tidak dapat disembuhkan dengan sendirinya kerana selepas kelahiran, banyak perubahan fisiologi yang membantutkan proses penyembuhan ini. Doktor Zubaidi Bin Haji Ahmad menceritakan pengalaman beliau semasa bekerja di wad bersalin di sebuah hospital awam di selatan tanah air. Seingatnya ketika itu, setiap hari terdapat antara 30 hingga 50 wanita yang melahirkan anak di wad itu dalam sehari. Dalam jumlah yang sebegitu ramai, kemudahan katil untuk digunakan semula oleh wanita yang melahirkan anak keesokan harinya amat tinggi. Selalunya wad akan penuh.

Jadi, mereka dibenarkan pulang ke rumah jika tidak mempunyai apa-apa komplikasi kelahiran yang nyata. Selepas bahagian abdomen dan faraj dipastikan tiada kapas atau jarum yang tertinggal, dan bayi yang dilahirkan telah kencing dan buang air besar, para ibu akan dibenarkan pulang untuk berehat di rumah. Malangnya kebanyakan wanita yang mengalami jangkitan kuman selalunya mengalami demam, merasa sakit pada bahagian tertentu selepas dibenarkan keluar dari hospital.




Oleh itu, selalunya kebanyakan jangkitan kuman hanya dapat dikesan selepas seorang wanita itu berehat di rumah. Dalam satu kajian yang dilakukan di UK, mendapati 94 peratus daripada kes jangkitan kuman ini didiagnosis selepas wanita dibenarkan keluar dari hospital. Dalam hal ini, ianya bukanlah suatu kecuaian pihak hospital. Lainlah jika wanita itu mempunyai demam tinggi semasa di wad dan dibenarkan pulang ke rumah tanpa rawatan.



Luka pada saluran sistem peranakan


Selalunya jangkitan kuman disebabkan oleh luka pada saluran sistem peranakan, sama ada di dalam rahim, pangkal rahim, faraj dan kulit sekitarnya. Jangkitan kuman pada lapisan endometrium dalam rahim (endometritis) selalunya menyebabkan sakit di bahagian abdomen dan bahagian ari-ari yang semakin hari semakin kuat. Ia jarang berlaku tetapi boleh berlaku apabila terdapat sisa uri yang tertinggal dalam rahim. Dalam hal ini, selain demam, sakit bahagian abdomen wanita juga mengeluarkan darah nifas yang berketul-ketul, berbau busuk dan tidak kering walaupun mendekati tempoh tamat nifas.




 Jangkitan kuman jarang berlaku pada luka di bahagian pangkal rahim, kerana selalunya pendarahan yang terlalu banyak selepas melahirkan anak membuatkan doktor segera merawat koyakan dan luka itu dengan menjahitnya. Jangkitan kuman biasa juga boleh berlaku pada luka pada faraj akibat kecederaan fizikal yang banyak semasa proses kelahiran. Walaupun telah dijahit dan diberikan antibiotik, oleh kerana luka di kawasan ini agak lembap, maka proses penyembuhan agak lambat dan mudah terdedah kepada jangkitan kuman.





Pesakit biasanya mengadu mengalami rasa sakit di kawasan itu dan adakalanya melarat di kawasan ari-ari di samping mengeluarkan lendiran dan darah nifas yang busuk. Kecederaan fizikal dan koyak juga boleh berlaku pada lubang pembukaan air kencing (external meatus). Selain itu, jangkitan kuman di kawasan faraj boleh merebak ke pundi kencing dan menyebabkan jangkitan kuman di situ. Oleh itu, jika mengalami rasa sakit ketika membuang air kencing, rasa kerap mahu ke tandas dan rasa tidak puas membuang air kencing, kemungkinan pundi kencing telah dijangkiti kuman.



Luka pembedahan dan bengkak payudara



Bagi wanita yang menjalani pembedahan cesarean untuk melahirkan anak, biasanya demam disebabkan oleh jangkitan kuman pada luka pembedahan cesarean. Selalunya luka pada jahitan cesarean menjadi sakit, merah dan mengeluarkan nanah selepas beberapa minggu jika tidak dirawat. Bagi wanita yang menyusukan bayi, masalah utama yang dihadapi ialah jangkitan kuman pada payudara menyebabkan payudara rasa sakit, bengkak dan tanda kemerahan pada payudara. Inilah juga punca demam bagi wanita yang baru melahirkan anak.




Sebab-sebab lain bagi demam ialah jangkitan pada paru-paru akibat komplikasi bius general anesthesia dan jangkitan kuman pada saluran darah vena yang dicucuk untuk diberikan IV drips.
Oleh itu, hendaklah sentiasa nasihatkan wanita yang baru melahirkan anak agar banyakkan rehat, minum air secukupnya dan jaga pemakanan. Sebarang tanda ketidakselesaan pada tubuh dan rasa demam haruslah segera berjumpa dengan doktor agar punca demam dapat dikesan segera dan diberikan rawatan yang bersesuaian.




Tanda-tanda jangkitan


Untuk memudahkan lagi, bagi wanita yang baru melahirkan anak, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan jika mengalami demam dan mempunyai tanda-tanda seperti berikut :



  • Sakit di bahagian tepi dan belakang. Rasa sakit dan kerap ketika membuang air kencing.

  • Rasa sakit, bengkak dan merah pada tempat dicucuk untuk IV drips.

  • Batuk, sakit dada dan sukar bernafas (ada kemungkinan mengalami jangkitan kuman di paru-paru).

  • Rasa demam dan menggigil.

  • Sakit di bahagian abdomen dan di bahagian ari-ari.

  • Mengeluarkan lendiran dan darah nifas (lochia) yang berbau busuk.

  • Payudara bengkak dan sakit.

  • Demam yang teruk bersama muntah dan tidak boleh makan dan minum.

  • Demam beserta sakit kepala yang berterusan bersama dengan pemandangan semakin terjejas.

Banyak juga info-info yang dapat kita sama-sama pelajari. Bahaya juga tau demam bila berpantang ni. Jangan ambil mudah pula tau. Kalau disebabkan oleh jangkitan kuman tu yang takut meebak ke tempat lain pula. Takut juga ni.... Kena berwaspada dengan setiap perubahan diri kita. Apa-apa pun, kena banyakkan berehat dan minum banyak air. Itu yang penting.


Sampai di sini dahulu coretan saya. Ada masa saya kongsikan lagi info-info dengan anda. Assalamualaikum.....


sumber: Anis mei 2012

http://drzubaidi.com/blog/demam-ketika-dalam-pantang-bersalin/


Selasa, 13 Oktober 2015

10 cara untuk menggapai tubuh yang sihat serta minda yang hebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda semua di dalam lindungan Ilahi serta sejahtera di mana jua berada. Hari ini hari yang sangat indah buat saya. Siapa sangka rezeki yang Allah beri tidak semestinya di dalam bentuk wang ringgit sahaja, adakalanya kesihatan, kebahagiaan dan sebagainya. Sentiasalah bersyukur.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua bagaimanakah kita sentiasa sihat tubuh badan serta minda. Bukan senang tau nak capai kedua-duanya sekali. Namun, jika kita inginkannya kita haruslah berusaha untuk mendapatkannya. Tak gitu????




 Seperti mana yang kita semua tahu, hidup ini terlalu indah untuk dipersiakan. Usahlah kita membuang waktu dengan perkara-perkara yang tidak menyihatkan. Untuk menjamin kelangsungan kesihatan tubuh dan minda, lakukan 10 cara mudah yang saya senaraikan ini yer....



1.  Tetapkan asas prinsip hidup yang betul.


Makanlah apabila anda lapar dan rehatlah tatkala anda penat. Sertai kelompok orang-orang yang peka dengan kesihatan luaran dan dalaman. Lambat laun anda pasti merasa betapa indahnya hidup apabila ia berada di laluan yang betul. Kalau saya pula, makan apabila perlu sahaja tetapi kadang-kadang tu terbabas juga. Kena patah balik ikut landasan yang betul ni....






2.  Buang sel kulit mati, lembap dan lembutkan kulit


Kalau anda benar-benar menjaga kesihatan dan kecantikan kulit, anda pasti rasa lebih gembira. Amalkan rutin menjaga kulit dengan sempurna. Keluarkan sedikit kos dan berusahalah untuk memastikan kulit lebih sihat, lembut, licin dan berseri-seri. Tiga trik ini usah ditinggalkan iaitu, membuang sel kulit mati, melicinkannya (dengan menyental) dan juga melembutkan (dengan melembapkannya dengan krim yang sesuai). Betul tu, cuma saya tak lakukan setiap malam jer..






3.  Bukan susah untuk katakan 'TIDAK'


Tubuh anda begitu istimewa. Jadi, hormati dan sayangilah ia sewajarnya. Oleh itu, jangan gusar untuk mengatakan tidak pada alkohol, rokok dan segala-galanya yang mampu merosakkan tubuh di kemudian hari. Memang bukan mudah pun untuk berkata 'TIDAK' kerana saya pernah hadapinya suatu ketika dahulu. Tetapi kini tidak lagi. Harus berkata benar.





4.  Hargai hidup semaksimum mungkin


Berhentilah memikirkan apa kata orang. Sekarang sudah tiba masanya untuk anda memberi ruang dan peluang kepada diri sendiri. Hargai hidup anda sepenuhnya dan berbuat baiklah kepada semua orang. Cakap-cakap orang tidak akan membawa kita ke mana-mana pun. Abaikan sahaja. Yang penting kita tahu apa yang kita buat itu tidak menyalahi apa-apa pun peraturan.





5.  Minatilah seseorang


Buatlah senarai orang yang anda kagumi tidak kira dari segi kecantikan, kesihatan, kehidupan, kerjaya dan sebagainya. Susuri kisah hidup mereka, ambil yang baik dan carilah maknanya untuk diri anda pula. Apabila sudah ada seseorang yang anda jadikan idola, ia akan menguatkan lagi usaha anda demi menggapai apa yang anda idamkan. Siti Nurhaliza, barangkali? Saya sangat minati Tun M. Setiap kata-kata beliau walaupun tak faham, saya tetap akan baca. Lenggok bahasa yang sangat saya sukai.





6.  Cantik dalam apa cara sekalipun


Dalam salah satu soal selidik, wanita pernah ditanya bagaimana pengaruh media dalam menentukan 'self esteem' mereka. Lapan peratus mengakui yang mereka tidak merasa selamat dengan imej-imej tersebut. Tetapi apa yang memeranjatkan, 92 peratus pula terus berusaha untuk menurunkan berat badan masing-masing. Daripada jumlah itu, 34 peratus mengakui yang mereka sanggup mencuba apa sahaja jenis diet sekalipun walaupun ia mampu membahayakan nyawa dan kesihatan mereka. Yang ini memang saya mengaku kerana saya pun hampir-hampir buat perkara yang membahayakan diri oleh kerana hendakkan berat badan saya kembali normal. Namun kini tidak lagi. Saya amalkan supplement yang betul-betul bertauliah dan ada kelulusan KKM tau.





7.  Usah langgar jadual tidur


Tak perlulah anda mengganggap yang tidur lama pada hujung minggu sebagai ganti kepada tidur yang tidak cukup sepanjang anda bekerja. Cara ini tidak berkesan dan tidak tepat, pun. Lebih baik anda tidur dan bangun pada waktu yang sama sepanjang hari (termasuklah hari sabtu dan ahad). Lagi kita tidur lama, lagi pening tau. Lebih baik ikut jer rutin harian, banyak kerja kita dapat disiapkan.





8.  'Workout'


Carilah apa sahaja aktiviti kecergasan yang kena dengan jiwa anda. Nikmatinya dan lakukan dengan konsisten untuk memastikan anda mendapat tubuh yang sihat, kuat dan anda berbangga memilikinya. Yang ini saya surrender. Saya workout dengan anak jer kat rumah. Itupun setakat mampu sahaja lah di tambah pula dengan saya yang tengah sarat mengandung. Hihihihih....





9.  Cinta bukan benci


Mulai hari ini, katakan pada diri 'Hidup ini terlalu pendek untuk aku membenci diriku sendiri'. Merangsang persepsi negatif pada diri hanya akan merendahkan tahap 'self-esteem' anda dan hanya akan merendahkan tahap keyakinan anda. Jadilah BFF kepada diri sendiri dan sokonglah diri dalam apa jua keadaan. Gembira jerr.... Itu lebih baik lagi.






10.  Usah tertipu dengan nafsu


Kajian membuktikan bahawa tubuh kita mahukan lebih kalori sebelum haid setiap bulan. Namun, sehiris kek keju dengan coklat putih bukanlah jawapannya. Sebenarnya tubuh kita hanya memerlukan kira-kira 100 kalori sahaja dalam sehari. Ia menyamai tiga cawan strawberi, tiga batang sate ayam ataupun setengah hidangan kentang goreng saiz kecil. Kalau hendak makan pun, janganlah sampai berlebihan. Ikut je sukatan yang selalu diambil, itu lebih baik.







Macam best jer kan???? Buat apa kita hendak bersedih ataupun membenci padahal kita tidak tahu pun apa yang akan berlaku pada keesokan harinya. Bergembiralah sahaja kerana ianya bukan sahaja untuk diri kita sahaja, orang yang memandang pun akan happy sekali. Begitu besarnya kuasa senyum dan ketawa itu tau. Yang penting ikhlas dari hati tau. Boleh lah saya tampal di cermin meja solek saya. Saya inginkan tubuh yang sihat serta minda yang sihat. Jom kita buat bersama-sama.


Sampai disini dahulu coretan saya. Ada masa saya kongsikan lagi yer... Assalamualaikum....



Ahad, 11 Oktober 2015

Sakit telinga - Mari kita kenali punca dan rawatan yang sesuai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kembali kita di pagi yang sangat indah ini. Alhamdulillah, idea pun semakin mencurah-curah pula pagi ini. Di harap anda yang membaca di beri kesihatan yang berpanjangan.

Kali ini saya ingin mengenengahkan coretan berkenaan dengan telinga. Seperti kita semua sedia maklum, kebersihan telinga sering kita tolak tepi malah menganggap ia tidaklah sepenting penjagaan anggota tubuh yang lain. Mungkin kerana ia bersifat 'terlindung' di mana kita mampu melindunginya melalui helaian rambut, tudung atau sebagainya. Bagaimanapun, tidakkah anda bakal berasa malu jika anda harus berdepan dengan masalah ini nanti yang puncanya adalah kelalaian anda?





 Sakit telinga merupakan masalah yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak. Adakalanya sakit telinga ini juga di alami di kalangan individu dewasa. Sebelum kita mendalami apa masalah yang mungkin telinga kita hadapi tanpa kita sedari, eloklah jika kita mengetahui serba ringkas anatomi telinga kita dahulu.


Telinga boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian utama iaitu :


Telinga luar

Telinga luar juga dikenali sebagai 'pina/auricle' (cuping telinga) seperti kipas dan tidak rata. 'Concha' (bowl) merupakan lekuk yang paling dalam terletak di bahagian tengah terdiri dari 'cymba' dan 'cavum' iaitu ruang ke salur luar telinga. Salur luar telinga ukuran purata lebih kurang 2.5sm dan lebar 0.7sm salur luar berbentuk S menghubung ke gegendang. Salur berbentuk S untuk melindungi gegendang dari kotoran udara dan serangga halus. Salur luar ditumbuhi rerambut halus sebagai penapis (filter) dari kotoran dan benda halus yang lain. Salur luar telinga juga hasilkan cecair berwarna coklat (brown) seperti cecair lilin yang dinamakan tahi telinga (earwax)






Telinga tengah

Mengandungi osikal pendengaran iaitu tiga tulang kecil ('malleus', 'incus', 'stapes' - tukul, andas, rakap). Dihubungkan secara mekanikal (mechanical linkage) di antara gegendang dan telinga dalam. Rongga dikelilingi tulang kepala osikel-osikel dalam rongga tengah dihubungkan dengan ligamen agar tergantung kepada dinding rongga. Pemegang 'malleus'/tukul terlekat pada gegendang dan meliputi lebih daripada separuh kawasan gegendang.






Telinga dalam

Kecil, rongga yang dikelilingi tulang kepala. Telinga dalam juga terdiri dari koklea dan salur separuh bulat. Koklea berbentuk seperti siput manakal salur separuh bulat adalah organ yang mengawal sistem keseimbangan anggota tubuh kita. Koklea terbahagi kepada dua bahagian yang utama di sepanjang saluran iaitu :

-  Bahagian yang menghubungkan jendela bujur iaitu skala vestibul.
-  Bahagian yang menghubungkan jendela bulat iaitu skala timpani.






Menurut Dr. Rushmini Maris, kebanyakan masalah yang sering berlaku adalah melibatkan telinga luar dan tengah. Jika masalah itu melibatkan telinga dalam maka ia adalah berkaitan dengan masalah urat saraf yang seterusnya boleh membawa kepada masalah pendengaran.


Secara umumnya, sakit telinga boleh dikategorikan kepada beberapa sebab seperti :

a)  Infeksi atau jangkitan kuman.

b)  Impacted atau telinga tersumbat.

c)  Allergic reaction atau alahan.

d)  Kecederaan pada telinga.



Kenapa infeksi berlaku :

Infeksi atau jangkitan kuman berlaku akibat kemasukan kuman dari kulit luar. Pada kulit luar terdapat pelbagai jenis kuman yang sesetengahnya membiak dan menyerang kulit telinga. Ciri-ciri jangkitan kuman seperti ini adalah anak anda akan mengalami demam, mengadu sakit telinga dan apabila dicuci telinganya didapati ianya lembap dan penuh dengan lendiran.


Selain itu, dalam sesetengah kes akan ada risiko kelenjar membengkak pada belakang telinga. Ini adalah kelenjar-kelenjar limfa yang merembeskan antibodi melawan penyakit. Hal ini berlaku kemungkinan kanak-kanak ini telah memasukkan sesuatu ke dalam telinganya yang menyebabkan telinganya kotor dan benda tersebut akan mereput dan akan menyebabkan jangkitan kuman pula.






Jangkitan fungus


Jangkitan fungus berlaku disebabkan oleh masalah kulat. Punca jangkitan kulat ini berkemungkinan berlaku apabila air memasuki telinga kita sewaktu kita mandi atau berenang. Air ini jika bertakung lama di dalam telinga akan menyebabkan telinga kita menjadi lembap dan memudahkan fungus menyerang.





Rawatan


Pemberian antibiotik akan dilakukan. Sekiranya dos yang diberikan tidak mampu melawan penyakit maka doktor akan mengadakan ujian dengan mengkulturkan sampel yang di ambil dari telinga pesakit dan mengenalpasti jenis kuman yang terdapat di situ. Antibiotik boleh diberikan dengan cara makan, suntikan atau titik.







Impacted (telinga tersumbat)


Telinga tersumbat kerana tahi telinga yang keras. Tahi telinga yang keras ini berlaku apabila keadaan persekitaran telinga yang kering. Kebiasaannya, ada di antara kanak-kanak yang kerap mengalami situasi ini turut mengalami masalah ekzema.







Rawatan


Rawatan yang boleh dilakukan adalah menerusi penggunaan cecair yang mampu menghancurkan tahi telinga yang keras ini. Ibu bapa juga dinasihatkan agar mencuci dengan baik telinga anak-anak anda dan juga mengeringkannya dengan baik selepas mandi. Kadangkala ada juga kes yang mengalami masalah berlebihan tahi telinga keras ini hingga memaksa doktor untuk mengeluarkannya menggunakan kaedah penyepit (aural forceps) atau menggunakan syringe dengan air suam.





Rupanya banyak perkara yang perlu kita ambil tahu berkenaan dengan telinga. Walaupun ianya terlindung, namun jangkitan tidak pernah mengenal waktu. Harus sentiasa peka dan berhati-hati. Tambahan pula telinga kanak-kanak. Orang dewasa pun jangan buat tak kisah pula ye. Kena sentiasa cuci telinga. Tetapi cuci dengan berhati-hati.


Sampai di sini dahulu coretan saya. Di harap dapat memberi info kepada anda semua. Ada masa saya coretkan lagi yer... Assalamualaikum..


Sumber :  Majalah rapi 2010


Sabtu, 10 Oktober 2015

Diet sihat dengan lapan jenis buah-buahan yang terdapat di pasaraya

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat bersama keluarga tercinta. Apa yang anda lakukan pada hari ini? Saya hanya makan kenduri di rumah jiran sebelah rumah emak saya. Memang meriah la, ditambah pula dengan hari ini yang sememangnya merupakan Hari Sukan Negara. Saya tak mampu bersukan sangat. Sukan dengan anak sulung yang semakin pandai dan nakal. Hurmmmm.....

Kali ini, saya ingin bercerita mengenai buah-buahan yang boleh dijadikan sebagai diet sihat kita. Seperti mana yang anda semua tahu, buah-buahan mengandungi kadar serat yang tinggi dan amat sesuai untuk dijadikan kudapan berkhasiat. Ia boleh dianggap sebagai antara komponen makanan penting untuk diet. Pengambilan buah-buahan dalam jumlah yang tinggi juga dapat menghindarkan manusia daripada serangan jantung dan kanser.






Antara jenis buah-buahan yang bermanfaat bagi kesihatan manusia dan tinggi seratnya ialah:


1.   Nanas

Buah nanas mengandungi enzim bromelain yang berupaya menguraikan protein. Nanas juga boleh digunakan dalam masakan untuk melembutkan daging. Buah yang amat kaya dengan vitamin C dan serat ini amat berguna untuk membantu sistem pencernaan, menguraikan pembekuan darah, mencegah sinusitus (radang pada selaput sinus hidung) dan infeksi saluran kencing.






2.   Pisang

Buah pisang mengandungi vitamin B6 yang diperlukan untuk menghasilkan serotonin dalam otak. Serotonin terdapat dalam platelet darah, sel otak, sel mas (mast cell) dan tisu usus yang menyebabkan pengecutan otot licin. Ia bertindak bagi mengurangkan rasa sakit, menahan nafsu makan, berasa relaks dan mengurangkan tekanan. Buah yang kaya karbohidrat dan kalium ini juga digunakan bagi menyembuhkan bisul perut.






3.   Epal

Buah epal mengandungi karbohidrat dan kaya pektin (sejenis serat, yang menjadi kenyal apabila dipanaskan dengan larutan gula untuk membentuk jem). Buah ini juga mengandungi flavonol iaitu, quercetin yang dikatakan memiliki bahan antikanser. Quercetin mempunyai bahan antiradang yang berguna bagi penyakit seperti artritis (melibatkan sendi).






4.   Strawberi

Buah strawberi mengandungi ellagic acid yang bertindak sebegai antioksidan. Ellagic acid terbukti dapat menghalangi pertumbuhan tumor dalam paru-paru, esofagus (bahagian salur makanan yang terletak di antara tekak dan perut), payudara, serviks dan lidah. Buah yang tinggi vitamin C ini juga diyakini memiliki bahan antibakteria dan bertindak sebagai pembersih bagi sistem pencernaan.





5.   Tembikai

Buah tembikai mengandungi kadar gula yang tinggi, vitamin C dan likopena yang berfungsi sebagai antikanser. Buah ini juga mengandungi karotenoid yang berfungsi melindungi tubuh daripada kerosakan radikal bebas dan boleh diubah menjadi vitamin A dalam tubuh.






6.   Anggur

Buah anggur mengandungi fitokimia yang di dalamnya terdapat resveratrol, ellagic acid dan quercitin yang dapat membantu meningkatkan kesihatan jantung disebabkan kehadiran bahan antikanser, antibakteria dan antioksidan. Namun, anggur mengandungi serat dan vitamin C yang rendah.






7.   Mangga

Buah mangga kaya dengan serat dan vitamin C. Buah ini juga mengandungi karotenoid iaitu beta-crytoxanthin yang bertindak sebagai antioksidan. Ia dapat melindungi tubuh dari beberapa jenis kanser dan penyakit kardiovaskular (berkaitan otot jantung dan pembuluh darah).






8.   Kiwi

Buah kiwi mengandungi pigmen klorofil yang menyebabkan buahnya berwarna hijau. Buah ini berkemampuan untuk mengikat serangan kanser. Sebiji buah kiwi sudah cukup untuk memenuhi sukatan vitamin C yang diperlukan oleh seorang dewasa.





Begitulah beberapa jenis buah-buahan yang boleh kita masukkan ke dalam senarai untuk diet harian kita. Selain untuk memudahkan pembuangan, ianya juga mengandungi antioksidan, antibakteria dan sebagainya agar tubuh badan kita kebal dari sebarang serangan penyakit yang semakin hari semakin membimbangkan. Menu sihat haruslah dititik beratkan di dalam kehidupan seharian. Semoga mendapat manfaat bersama di hari cuti.

Sampai di sini dahulu coretan saya. Ada masa saya updatekan lagi yer... Assalamualaikum.....


Sumber : Majalah Harmoni