Selasa, 25 Ogos 2015

Motivasi untuk diri sendiri dan juga untuk anda yang mencari-cari

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua berada di dalam keadaan yang sihat sejahtera di samping keluarga. Lama juga saya menghilangkan diri. Tidak ke mana-mana pun cuma kesihatan kurang memuaskan menyebabkan saya merehatkan diri buat sementara waktu. Lagipun, saya masih mencari-cari arah tujuan yang harus saya lalui.

Saya banyak menghabiskan masa dengan membaca. Membaca buku boleh membuatkan pemikiran kita semakin berkembang dan bertambah idea-idea yang ingin kita kongsikan. Sebelum ini, saya lebih gemar membaca buku novel. Sebut sahaja novel keluaran Alaf21, laju sahaja saya menyebut nama-nama pengarang dan tajuk buku. Tapi sekarang, mungkin dengan usia yang semakin meningkat dan keluarga juga semakin bertambah membuatkan saya terfikir kembali mengenai masa depan saya dan keluarga.





Saya mula membaca buku yang memberi inspirasi dan juga panduan kewangan. Mula-mula tu memang susah la sebab tidak memenuhi jiwa. Namun lama kelamaan, saya sudah mula menyukai buku-buku sebegitu. Banyak panduan dan ilmu yang boleh kita ambil dan aplikasi di dalam kehidupan kita sehari-hari. Sejak itu, saya mula mencari-cari apakah yang perlu saya sediakan untuk masa depan keluarga saya. Bukan senang untuk melakukan banyak kerja di dalam satu masa. Bukan senang hendak berfikir mengenai apa yang perlu saya dahulukan. Tetapi sejak saya mula mengenalinya, saya sudah mula berjinak-jinak dengannya.





Saya masih terlalu baru iaitu kira-kira empat bulan lebih, namun pemikiran saya sudah semakin terbuka dan semakin banyak pula halangan yang perlu saya lalui. Ada masa kita sedih, gembira, susah hati, tertekan dan sebagainya, namun saya perlu bangkit untuk teruskan perjuangan saya yang belum selesai.





Saya ingin share video ini untuk tatapan anda semua. Banyak memberi manfaatnya. Sila tonton sampai habis. Mungkin sekarang anda rasa seperti buang masa, tetapi percayalah, suatu hari nanti anda pasti akan mencari saya. In sya Allah....


Master Dr Hj Abdulllah 16 Tahun BerShaklee from iReach HD on Vimeo.


Sampai di sini dahulu coretan saya. Di harap tutur kata saya tidak menyinggung anda semua. Assalamualaikum.


p/s : Jika anda ada persoalan, lakarkan sahaja di whatapps saya iaitu 0143607954.

Rabu, 19 Ogos 2015

Lentikkan bulu mata dengan menggunakan cara semulajadi

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat sejahtera di samping keluarga tersayang. Hari ini banyak sungguh aktiviti yang perlu dilakukan. Alhamdulillah, siap juga akhirnya. Begitulah pekerja kena hadapi benda yang sama hari-hari. Tu pun nasib ada kerja tau..... Orang lain belum tentu lagi... hihihihihi.... Betul sangat-sangat.


Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda cara untuk lentikkan bulu mata dengan cara semulajadi. Wanita kalau keluar ke mana-mana mesti akan mekap. Tetapi tak semua la. Ada kala tu, sampai beli pengapit bulu mata nak bagi lentik punya pasal. Saya pun sama juga... hihihihihihi.....



Bulu mata yang lebat dan lentik menambah kecantikan wanita. Ia bukan sahaja menjadi titik tumpu pada wajah malah kecantikan bulu mata mampu menarik perhatian insan tersayang mahupun orang di sekeliling. Tidak dinafikan penggunaan maskara dapat membantu wanita memiliki bulu mata yang lentik namun kesannya tidak lama.


Penggunaan secara kerap juga boleh menyebabkan bulu mata gugur. Terdapat beberapa cara semulajadi yang dapat membantu wanita untuk merealisasikan impian ini. Bukan sahaja bulu mata menjadi lentik malah penggunaan ini membantu melebatkan dan memelihara kecantikan mata. Jom cuba!


Tangkai daun sirih dan lendir lidah buaya

Siapa sangka, lendir lidah buaya bukan sahaja boleh dijadikan masker malah ia juga amat efektif untuk merawat bulu mata. Khasiat yang terkandung dalam lidah buaya atau aloe vera dikatakan dapat membantu melebat dan melentikkan bulu mata.
Caranya mudah sahaja, bersihkan tangkai daun sirih. Kemudian celup tangkai ini pada lendir lidah buaya.
Elakkan terkena kulit lidah buaya kerana ia mungkin menyebabkan alahan atau gatal-gatal terutama pada golongan yang mempunyai kulit sensitif.
Sapukan lendir lidah buaya pada seluruh bulu mata. Amalkan petua ini setiap hari sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya. Bulu mata akan menjadi lembut, lentik dan menawan.



Potong bulu mata

Ada juga golongan yang memotong bulu mata separuh dalam usaha melebat dan melembutkannya. Tapi ingat jangan terlalu pendek kerana fungsi bulu mata menahan debu masuk ke mata. Pun begitu, untuk melakukan pemotongan ini, pastikan anda mendapat khidmat mereka yang pakar kerana kesilapan boleh mencederakan mata.





Minyak zaitun

Minyak zaitun kaya dengan pelbagai khasiat untuk menjaga kecantikan. Minyak zaitun juga dikatakan mujarab untuk merawat bulu mata yang bermasalah agar kembali sihat serta cantik. Caranya, oleskan minyak zaitun pada bulu mata dengan cara melengkung ke atas sebelum tidur.
Sebaik sahaja bangun pagi, cuci bulu mata sehingga bersih. Lakukan tip ini secara konsisten, hasilnya dapat dilihat seawal tiga minggu. Anda pasti gembira dengan hasil yang memuaskan ini.
 



Buah pelaga

Bakar buah pelaga sehingga keluar minyak, kemudian asah di atas batu. Calitkan minyak tersebut menggunakan putik kapas. Sapu pada bahagian bulu mata dan lakukannya setiap hari. Sebaik-baiknya amalkan petua ini sebelum tidur malam. Minyak buah pelaga akan membantu menguatkan bulu mata disamping melebat dan melentikkannya.


Begitulah petua yang boleh kita amalkan untuk melebatkan dan melentikkan bulu mata. Semoga artikel ini dapat membantu anda semua. Setakat di sini dahulu penulisan saya. Ada masa dan ketika, saya menulis lagi.
Assalamualaikum...


Sumber: mingguan wanita

Selasa, 18 Ogos 2015

5 tips penjagaan bibir yang boleh anda cuba beserta gaya solekan yang sesuai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat sejahtera dan bahagia di samping keluarga yang anda cintai. Hari ini tiada apa yang menarik sangat pun. Cuma saya hanya mampu berdiri di tingkap menyaksikan titisan hujan membasahi bumi. Musim tengkujuh sudah pun bermula. Suasana sejuk menyelubungi diri.



Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua berkenaan tip penjagaan bibir. Setiap wanita mengimpikan bibir yang halus, mungil dan bersinar. Penjagaan yang khusus di perlukan tambahan pula kulit di bahagian bibir tidak sama dengan kulit di bahagian badan yang lain di mana ia sangat nipis berbanding kulit wajah. Warnanya juga lebih terang kerana ia mengandungi melanosit iaitu sel-sel yang menghasilkan melanin (berfungsi memberi warna atau pigmen pada kulit).



Walaupun ramai yang mengakui hakikat kepentingan penjagaan bibir, namun masih ada yang mengambil ringan langkah-langkah perawatannya. Berikut disenaraikan beberapa cara mudah yang boleh dipraktikkan dalam mengekalkan kesihatan dan kecantikan bibir :


Penjagaan #1 - Kebersihan gigi dan mulut

Bakteria yang terkumpul pada gigi boleh juga tertumpu pada bibir melalui air liur. Seandainya bibir anda luka, bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan melalui bahagian yang luka itu.

























Penjagaan #2 - Menjilat bibir

Tabiat ini haruslah dihentikan segera! Walaupun ia mampu menampakkan bibir basah, tetapi air liur sebenarnya mengandungi enzim pencernaan yang boleh merosakkan lapisan bibir dan membuatkannya menjadi lebih kering.

Image result for menjilat bibir


Penjagaan #3 - Minum air

Dehidrasi mampu menyebabkan bibir anda menjadi kering. Justeru, pengambilan air yang banyak sangat penting.





















Penjagaan #4 - Cuaca

Suhu dan kelembapan udara yang rendah akan membuatkan bibir menjadi kering dan menggelupas. Pastikan bibir anda disapukan salap bibir atau pelembap tidak kiralah walau di mana anda berada.


Penjagaan #5 - Rutin sebelum tidur

Jika kulit wajah perlu dibersihkan daripada solekan sebelum tidur, begitulah juga halnya dengan bibir. Pastikan bibir anda bebas solekan kerana waktu tidur merupakan waktu rehat bagi bibir. Paling tidak, oleskan pelembap bibir (tanpa warna) sebelum masuk tidur.


Seperti mana tajuk di atas, saya juga ingin berkongsi tip solekan untuk bahagian bibir. Mainan warna gincu bibir perlu disesuaikan dengan warna kulit. Wanita yang berkulit cerah, boleh mengenakan warna merah menyala, manakala bagi yang berkulit gelap, disarankan agar memilih warna merah yang lebih gelap seperti meroon.


Dengan perkembangan fesyen dan trend solekan, selain merah, terdapat banyak lagi variasi warna gincu bibir yang boleh dijadikan pilihan. Setiap satu daripadanya mampu memberikan kesan yang berlainan kepada imej peribadi.


Gaya solekan seksi

Bentukkan bibir terlebih dahulu menggunakan penggaris bibir (satu tona lebih gelap daripada warna gincu). Kemudian, sapukan gincu dan ratakan pada bibir menggunakan berus.


Gaya solekan glamour

Sesudah gincu bibir disapukan, lapisinya dengan pengilat bibir yang mengandungi glitter. Pastikan padanan warna gincunya kena dengan solekan di bahagian mata.

Gaya solekan segar

Sapukan pelembap bibir dan kemudian oleskan pengilat bibir daripada warna natural atau pastel.

Gaya solekan tebal dan penuh

Bagi yang berbibir tebal, pilihlah gincu dengan warna yang natural, manakala bagi yang berbibir nipis, gincu daripada warna yang gelap adalah lebih sesuai. Selepas gincu disapukan, tambahkan highlight dengan pengilat bibir di bahagian tengah bibir.


Tip-tip yang menarik dan sesuai untuk digunakan pada bila-bila masa. Cuma kena pandai pilih warna yang sesuai. Lepas ni, boleh la bergaya dengan gincu bibir yang supermodel selalu guna. Hihihihihi.... berangan je lebih..


Sampai di sini dahulu karangan saya. Ada masa saya menulis lagi. Assalamualaikum...


Sumber : mingguan wanita

Khamis, 13 Ogos 2015

8 tip yang boleh diikuti untuk menyahkan stretchmark!

Assalamualaikum. Di harap anda semua sihat-sihat hendaknya. Bagaimana dengan kehidupan untuk hari ini? Semoga memberi banyak inspirasi buat anda semua. Hari ini adalah hari yang sangat best. Saya dapat mencapai banyak pencapaian walaupun belum 100 peratus, namun sudah cukup membuatkan saya gembira dan ingin berusaha lagi untuk memecahkan rekod peribadi saya. Hihihihi...

Seperti mana tajuk di atas, saya rasa anda semua tentunya tahu kan? Tambahan ibu-ibu yang mengandung tentunya lebih memahami. Garisan-garisan pada kulit atau dikenali sebagai 'stretchmark' berlaku pada wanita hamil apabila kulit teregang akibat rahim yang makin membesar dengan kadar yang cepat. Perubahan hormon sewaktu mengandung menyebabkan garisan tersebut berwarna merah, merah jambu atau ungu.





Stretchmark juga boleh terjadi pada orang yang obes. Faktor genetik juga mempengaruhi kecenderungan seseorang untuk mendapat stretchmark. Kawasan yang biasanya stretchmark akan terjadi ialah pada perut, punggung, peha, buah dada dan lengan. Selepas melahirkan anak, hormon akan kembali normal, garisan-garisan merah akan bertukar menjadi putih selepas beberapa bulan. Walaupun ada rawatan bagi stretchmark, ia hanya setakat memudarkan warna dan menegangkan kulit sahaja, bukan untuk menghilangkannya.






Di bawah ini disertakan cara-cara untuk merawat stretchmark :


1. Elakkan pertambahan berat mendadak sewaktu mengandung.


2. Pastikan pemakanan seimbang dan pengambilan vitamin C yang merangsang kolagen.
(p/s: saya memang ambil vitamin C dan alhamdulillah tanda stretchmark saya tidak kelihatan seperti sewaktu mengandung anak sulung dahulu)





3. Sapukan pelembap pada kulit seperti belli oil, cocoa butter, shea butter atau krim yang mengandungi vitamin C.





4. Rawatan glikolik asid dan krim tretinoin boleh membantu merangsang penambahan kolagen pada kulit tetapi tidak digalakkan jika hamil atau menyusu badan.


5.Lakukan rawatan radiofrekuensi. Rawatan ini boleh merangsang kolagen pada kulit dan membakar lemak di bawah kulit di samping menegangkan kulit.


6. Pakailah korset untuk membantu kulit yang kendur untuk tegang kembali.





7. Jadikan senaman sebagai rutin harian.


8. Garisan-garisan merah atau ungu akan bertukar warna menjadi putih. Bagi menghilangkan garisan-garisan putih, bolehlah melakukan rawatan fractional CO2 laser. Rawatan ini perlu dilakukan beulang kali sehingga kesan garisan ini pudar.


Info yang boleh kita gunakan untuk merawat stretchmark ni. Tetapi waktu yang paling terbaik atau sesuai untuk merawat stretchmark ialah pada masa ia kemerah-merahan kerana akan lebih sukar apabila ia sudah bertukar menjadi putih. Jadi, yang mana boleh buat sewaktu hamil, kita buat. Sekurang-kurangnya, tak la nampak sangat stretchmark tu walaupun hanya kita sorang je yang tau... Hihihihiihi....

Sampai di sini sahaja artikel saya kali ini. Artikel yang pendek la buat saya. Ada masa saya update lagi ye. Assalamualaikum...


Sumber : majalah anis 2014

Jika berminat untuk mendapatkan produk ini, sms atau call 016-5003075 atau whatapps 01115367287. Setiap pembelian akan dikonsultasi oleh saya secara percuma.









Rabu, 12 Ogos 2015

10 tip helah fesyen anda untuk yang bersaiz XL

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat-sihat sejahtera dan bergembira selalu. Hari ini merupakan hari yang indah buat saya. Walaupun kecil, sudah cukup memberikan kepada saya inspirasi dan kreativiti untuk saya berdaya saing. Cewah.... ayat terbaik la tu....

Hari ini saya ingin berkongsi tip untuk mereka yang bersaiz XL. Kesian juga ye bila melihat mereka terkial-kial mencari saiz apabila mengunjungi pasaraya sama ada untuk membeli pakaian atau kasut ataupun aksesori yang lain. Silap beli kang, naya kat diri je lah.... Sebab itu lah saya cuba juga mencari tip-tip yang boleh memberi panduan kepada anda. Jangan malu atau segan dengan diri sendiri tau. Kena self-confident. Baru kita nampak sesuatu itu dari sudut positif.




Sekarang jom kita lihat 10 tip atau helah yang boleh anda gunakan apabila ingin bergaya:



Helah no. 1

Pakailah 'blazer' atau kardigan labuh. Ia tidak perlu dibutangkan untuk memaksimumkan garisan bujur pada penampilan anda.





Helah no.2

Kenakan skaf secara memanjang ke bawah (bukan melintang). Ikat dengan kemas di leher kerana ia membantu menimbulkan ilusi langsing pada mata yang memandang.


Helah no. 3

Pakailah kasut tinggi sekurang-kurangnya satu inci. Lebih tinggi kasut anda, lebih bagus.





Helah no.4

Pakai kasut berhujung tajam. Elakkan sama sekali kasut yang berbentuk bulat atau empat segi di depannya.


Helah no.5

Kalau anda hendak pakai skirt dan kasut but, pastikan hujung skirt mampu menutupi sedikit but tersebut. Kalau skirt anda lebih singkat daripada kasut, anda hanya akan menyerlahkan kekurangan apabila ternampaknya 'garisan' betis antara hujung skirt dan kasut.





Helah no. 6

Corak memang cantik tetapi berhati-hati kerana tersilap memilih corak, anda akan kelihatan lebih besar daripada biasa. Rahsia terbaik untuk anda, pilihlah corak untuk bahagian bawah misalnya di bahagian bawah tubuh, khususnya seluar dan skirt. Padankan dengan baju (top) berwarna gelap. Elakkan memakai baju yang penuh corak.





Helah no. 7

Bra wanita bersaiz besar cepat mudah rosak. Kalau anda perasan tali bra anda sudah tidak elok, gantikannya segera. Perlu diingat, bra yang bagus penting untuk penampilan yang menarik.


Helah no. 8

Perhiasan wanita tidak semestinya bersaiz kecil sahaja. Jadi laburkan sedikit wang dan belilah perhiasan bersaiz besar yang bermutu dan boleh anda padankan dengan kebanyakkan aksesori anda. Apapun, pastikan pemilihan perhiasan itu tidak mengganggu anda misalnya mudah membuatkan anda berpeluh dan menyebabkan anda berasa gatal.





Helah no. 9

Gaun adalah teman baik anda. Semua gaun terutama yang mempunyai leher bentuk 'V' mampu membuatkan tubuh anda sedikit rata. Pakailah skirt yang mempunyai paras labuh di bawah lutut untuk membuatkan anda tampak langsing.





Helah no. 10

Tidak kira apa yang anda sarung, termasuklah seluar, skirt atau baju, ia sebenarnya lebih cantik dipakai jika anda menempahnya sendiri. Tukang jahit mampu merealisasikan ukuran yang sempurna mengikut apa yang ada di tubuh anda. Kos mahal? Sudah tentu. Tetapi hasilnya cantik! Tak perlulah semua ditempah, memadai untuk yang anda pakai pada waktu majlis tertentu sahaja.


Itulah dia helah berfesyen yang sempat saya kongsikan bersama anda. Di harap dapat dijadikan sebagai panduan untuk anda bergaya nanti. Sekali-sekala boleh juga menampilkan kelainan. Tidak la asyik gaya yang sama sahaja kan??? Sampai di sini dahulu penulisan saya. Ada masa saya coretkan lagi. Assalamualaikum

P/s : jika anda ada pendapat yang ingin ditambah, kongsikan sahaja ye.... Mana tahu dapat membantu orang lain...

Sumber : Rapi 2010

Selasa, 11 Ogos 2015

Mari kita kenali 5 masalah rambut dan jalan penyelesaiannya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera di ucapkan kepada anda semua. Di harap sihat sejahtera di samping keluarga tercinta. Hari ini boleh dikatakan hari yang agak memenatkan. Bukan penat badan tetapi penat otak kerana berfikir. Bukan senang hendak memuaskan hati semua orang.

Hari ini saya ingin mengenengahkan artikel berkenaan dengan rambut. Bagi setiap orang wanita, rambut adalah mahkota yang berharga. Tambahan pula terdapat pelbagai jenis rambut. Ada yang panjang mengurai, ikal mayang, kerinting dan sebagainya. Penjagaannya pula sudah semestinya berlainan.


Rambut Gugur Merimaskan, Terutama Wanita Bertudung Ini... from iReach HD on Vimeo.


Sepertimana yang kita ketahui, rambut berkelemumur, gugur, rapuh, bercabang, kusut dan beruban merupakan antara gejala yang amat di takuti golongan wanita. Baik yang bertudung atau tidak, rambut bermasalah pasti memberi tekanan mahupun menimbulkan perasaan rendah diri untuk berhadapan dengan orang sekeliling. Bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, kenali terlebih dahulu punca permasalahan ini timbul.

Antaranya :


1. Kelemumur

    -  Punca

Kehadiran kelemumur menyebabkan rambut kelihatan kotor dan mudah gugur. Kelemumur timbul akibat pertumbuhan mikroorganisma pada kulit kepala yang disebabkan peninggalan zat kimia yang terdapat pada syampu atau minyak rambut. Mikroorganisma ini semakin subur akibat kulit kepala terlalu berminyak. Penyebab lain, berpunca daripada psoriasis iaitu penyakit radang kulit sehingga penggantian kulit lebih cepat dari biasa termasuk pada kulit kepala.


    -  Cara penyelesaiannya

Pelihara kulit kepala agar tidak terlalu berminyak dengan mecucinya dengan teratur dan menggunakan minyak rambut yang sesuai. Selepas di syampu, pastikan ia di cuci bersih. Selain itu, gunakan sikat yang bersih untuk menyisir kulit, minum air putih secukupnya selain makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Untuk menghilangkan kelemumur, gunakan syampu yang mengandungi selenium silfida atau salicylic acid.





2. Gugur

    -  Punca

Keguguran rambut adalah normal jika tidak melebihi 100 helai setiap hari. Jika melebihi, maka ia perlu dirawat segera bagi mengelakkan rambut menjadi nipis atau botak. Keguguran rambut adalah berpunca daripada kelemumur atau disebabkan faktor hormon. Selain itu, penyakit alopesia (gangguan sistem kekebalan tubuh hingga menyebabkan ketiadaan rambut atau bulu pada bahagian yang sepatutnya) juga menjadi penyebabnya.

    -  Cara penyelesaiannya

Kekurangan zat tertentu boleh menyebabkan rambut mudah gugur. Justeru, ambil makanan biotin yang mampu merangsang pertumbuhan rambut seperti ikan salmon, hati, pisang, lobak merah dan kacang soya. Selain itu, anda juga boleh menjalani rawatan hair laser yang mampu meningkatkan peredaran  darah dan oksigen ke akar rambut di samping menguatkan rambut.





3. Uban

    -  Punca

Beruban kerana faktor usia pasti tidak dapat dielakkan. Tetapi, uban boleh muncul pada usia muda mungkin kerana stres, faktor genetik, kelainan imunisasi tubuh, kelainan metabolisme atau akibat penggunaan zat kimia yang terdapat pada pewarna rambut atau syampu. Zat kimia kebiasaannya akan meresap ke dalam pori-pori rambut dan menggangu terbentuknya warna hitam pada rambut.

    -  Cara penyelesaiannya

Makan makanan yang banyak mengandungi vitamin B12 seperti telur, susu, dan daging tempatan, kerana ia mampu mencegah pembentukan uban. Anda juga dinasihatkan agar berhenti merokok kerana ia juga boleh menyebabkan rambut beruban.





4. Bercabang

    -  Punca

Rambut bercabang adalah berpunca daripada rambut yang kering. Ia kebiasaannya timbul akibat penggunaan hair dryer atau curling iron yang terlalu kerap.

    -  Cara penyelesaiannya

Bagi mengembalikan semula kelembapan rambut, gunakan pelembap sesuai selepas bersyampu atau sebelum menggunakan hair dryer. Jangan biarkan rambut terlalu terdedah pada sinaran matahari secara berlebihan. Selain itu, pastikan rambut bercabang digunting atau lakukan trimming secara teratur.





5. Rapuh

    -  Punca

Rambut rapuh berpunca daripada kekurangan protein serta kesalahan ketika menyisir rambut.

    -  Cara penyelesaiannya

Lebihkan mengambil makanan seperti kacang tanah, badam, gandum, telur, susu, keju atau daging merah. Gunakan sikat kayu dan sisir secara perlahan. Ketika menggunakan hair dryer, pastikan teknik penggunaannya betul agar tidak merosakkan rambut.




Begitulah punca-punca dan cara penyelesaian bagi setiap masalah rambut yang di hadapi oleh setiap wanita. Namun, lelaki juga tidak ketinggalan menghadapinya. Secara tidak langsung dapat memberi panduan kepada kita bagaimana untuk merawatnya. Rawatan bermula dari dalam jadi, pilihlah makanan yang sihat dan banyakkan minum air kosong.

Sampai di sini dahulu coretan saya untuk anda semua. Ada masa saya menulis lagi. Assalamualaikum...



Di sini saya sertakan makanan tambahan yang boleh di ambil untuk mengelakkan keguguran rambut. Jika berminat boleh sms atau call 016-5003075 atau whatapps 01115367287. Saya sedia membantu.

















Sumber : Harmoni 2010

Isnin, 10 Ogos 2015

6 tip tiru diet ala wanita Perancis, menarik bukan!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat sejahtera di samping keluarga tercinta. Hari ini tak tahu la kenapa telefon buat perangai. Pening dah duk cuba buka tapi tak settle juga. Last-last biar je la....

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua berkenaan topik diet. Tapi kali ini diterbangkan dari Perancis. Teruja bukan? Saya pun teruja juga. Bab-bab diet memang pilihan utama saya. Hihihihihi.... Nampak sangat makan tak ingat dunia....




Jika anda merupakan peminat setia telefilem Perancis, pasti anda bukan sahaja gemar pada jalan ceritanya, malahan pasti tertawan dengan susuk tubuh wanita Perancis yang langsing. Minda anda pasti tertanya-tanya bagaimana wanita-wanita ini mengekalkan tubuh yang cantik padahal makanan mereka kaya dengan keju, coklat, kek, mentega serta lemak.

Ingin tahu rahsia mereka? Cuba semak tip-tip berikut:


1. Makan dengan nikmat dan perlahan

Paul Rozin, Ph.D Psikologi University of Pennsylvania berkata, orang Perancis menikmati makanan secara perlahan-lahan sambil berbual. Melalui cara ini, rasa kenyang akan cepat timbul berbanding makan dengan cepat. Makanan akan dihadam sempurna dan proses pencernaan akan menjadi lebih mudah.

Nikmati makanan dengan cara :

a) Jangan makan sambil melakukan kerja lain seperti menonton televisyen atau membaca buku. Ini kerana anda lebih cenderung untuk mengambil makanan dalam kuantiti berlebihan.

b) Kunyah makanan secara perlahan dan sehingga halus tetapi tidak terlalu lama. Pastikan makanan tersebut telah ditelan sebelum menyuap makanan lain.

c) Pasangkan muzik berirama perlahan kerana irama ini dapat membuat anda makan dengan perlahan.





2. Makan kerap tetapi kuantiti kecil

Kajian yang dijalankan oleh seorang ahli gizi dari Amerika, Dr. Will Clower, mendapati, wanita Perancis menikmati semua makanan yang mereka inginkan tetapi dalam kuantiti yang sangat kecil. Pola makanan mereka terdiri daripada makan pagi, makan siang, snek dan makan malam. Prinsipnya di sini ialah mengurangkan jumlah kalori bukannya mengurangkan jumlah makanan.Tetapi, pilihlah makanan yang tidak mempunyai kandungan lemak tinggi, minyak atau santan.





3. Makan lebih kalori pada waktu siang

Orang Perancis juga kebiasaannya akan menikmati kuantiti makanan yang lebih tinggi pada waktu siang berbanding waktu malam. Ini sesuai dengan corak aktiviti dan metabolisme tubuh yang lebih bergiat aktif pada waktu siang. Berdasarkan penelitian, orang Perancis mengambil 60 peratus daripada jumlah kalori yang diperlukan dalam sehari sebelum pukul 2.00 petang. Makan malamnya hanya dalam kuantiti yang kecil.





4. Makan makanan segar

Jadikan makanan sihat dan segar sebagai pilihan. Orang Perancis kurang gemar menjadikan makanan segera atau siap saji sebagai pilihan utama kala menyediakan makanan. Mulakan jadual makan dengan menikmati salad, daging ayam panggang dan buah-buahan sebagai penutupnya. Selain itu, jangan terlalu kerap mengambil snek atau kudapan kerana ia adalah pencetus utama kepada peningkatan berat badan. Ambil dessert tidak salah, tetapi jangan terlalu banyak.





5. Sudahi dengan secawan kopi

Diet ala Perancis juga menyarankan kita untuk menikmati secawan kopi selepas makan bagi membuatkan perut terasa lebih kenyang dalam jangka masa lebih lama. Kafein yang terkandung di dalam kopi dikatakan mampu membantu meningkatkan metabolisme tubuh. Namun, jangan mengambilnya secara berlebihan kerana kafein boleh menyebabkan masalah diuretik (kekerapan buang air kecil) dan kesukaran tidur.





6. Bersenam

Jadualkan aktiviti masa lapang atau di hujung minggu dengan aktiviti sihat seperti bersenam atau beriadah. Senaman juga harus dinikmati, kerana biar sekecil mana gerakannya, ia mampu membakar kalori dengan lebih efektif. Gunakan masa lepak bersama teman dengan mengajak mereka beriadah seperti berenang, jungle tracking, hiking dan sebagainya bagi mengeluarkan peluh.




Patut lah wanita Perancis mempunyai tubuh yang langsing, cara pemakanan serta jenis makanan mempengaruhi diet mereka. Memang betul, mereka tidak suka makanan segera. Saya juga peminat telefilem Perancis tetapi tidak ikut sangat bab makan, seronok dengan jalan cerita sahaja. HIhihhihihi.... Lepas ni boleh langsing la.....

Sampai di sini dahulu tulisan saya. Ada masa saya kongsikan lagi ye... Assalamualaikum....


Sumber : harmoni 2010

Jika berminat dengan set di bawah, boleh hubungi saya di 016-5003075 atau whatappas 01115367287. Setiap pertanyaan akan cuba di jawab sebaik mungkin.








Ahad, 9 Ogos 2015

7 Tip selamatkan diri dari cengkaman hutang

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Di harap anda sihat-sihat selalu walaupun di dalam musim hujan beserta ribut kencang. Dengar merata tempat juga ye bumbung di terbangkan oleh angin. Semoga keluarga yang terlibat selamat dan berada di dalam keadaan yang baik.





 Seperti mana tajuk yang saya coretkan, hari ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai hutang. Boleh dikatakan kebanyakkan dari kita mempunyai hutang. Hutang pembelian rumah, hutang kereta, hutang pinjaman dan sebagainya. Ada juga yang menggunakan kad kredit, walaupun mempunyai kebaikkan namun keburukkannya tetap ada. Namun, sikap alpa, boros dan tiada perancangan merupakan jerat utama yang membawa kepada perangkap hutang. Kita mungkin berhutang kerana ingin berbelanja mewah atau mendapatkan barangan impian sehingga terlupa akan permasalahan yang bakal timbul.





Akibatnya, sumber kewangan bukan sahaja semakin merosot, malahan pelbagai konflik akan timbul terutamanya bagi individu yang telah berkeluarga. Bagaimana untuk menyelamatkan diri daripada terus terperangkap dalam permasalahan hutang ini? Tip berikut mungkin boleh membantu anda:


1. Jangan berhutang untuk selamatkan tunai

Anda mungkin mempunyai sejumlah wang simpanan yang begitu banyak. Tetapi, anda begitu berkira untuk menggunakan wang ini untuk membeli barangan yang dihajati. Anda lebih teruja berbelanja secara bayaran ansuran yang pasti lebih tinggi jumlahnya berbanding bayaran secara tunai. Ada juga di antara kita yang gemar menggunakan kad kredit, sedangkan ketika itu mempunyai tunai yang mencukupi. Jika sikap ini dijadikan amalan, anda pasti akan berdepan dengan situasi sukar sekiranya jumlah hutang semakin meningkat.


2. Jangan berhutang untuk perkara yang remeh

Adakah anda merupakan seorang yang gemar menjadikan rakan-rakan sebagai 'bank' kala ingin mendapatkan barangan yang dihajati? Jika ini sikap anda, segeralah berubah. Perbuatan anda yang gemar meminjam seterusnya berhutang ini hanya akan menjerat anda kepada masalah kewangan yang lebih serius. Jika tidak mampu melangsaikannya, anda bukan sahaja akan kehilangan rakan, malahan tiada siapa lagi yang akan membantu anda.


3. Cari ikhtiar elak hutang

Jadikan hutang ini sebagai pilihan terakhir anda. Jika menginginkan sesuatu perkara, cuba cari ikhtiar atau jalan terbaik mencari sumber kewangan. Namun, jika sumber kewangan yang sedia ada masih tidak mencukupi, anda mungkin boleh mempertimbangkan semula untuk berhutang. Bagaimanapun, pilih sumber hutang yang terbaik dan tidak mempunyai kadar faedah yang tinggi.


4. Tangguhkan pengambilan hutang

Sebelum anda menurunkan tanda tangan pada surat perjanjian pinjaman, fikirkan ia secara lebih mendalam. Cuba bayangkan, apa yang akan berlaku pada diri anda sekeluarga jika hutang itu tidak mampu anda langsaikan. Anda mungkin akan kehilangan rumah, kereta, harta benda dan kemungkinan akan diisytiharkan muflis. Barangan anda terpaksa digadaikan demi melangsaikan hutang. Jika semua ini anda fikirkan, pasti anda akan menanguhkan pengambilan hutang tersebut.


5. Jangan miliki kad kredit

Fikirkan secara mendalam jika anda berhasrat untuk memiliki kad kredit. Adakah anda benar-benar memerlukannya, apakah tujuannya, adakah anda seorang yang boros, mampukah anda berdisiplin dan bolehkah anda menggunakannya secara bijak? Jika jawapannya negatif, maka lupakan sahaja niat anda untuk memiliki kad kredit. Lebih baik berbelanja secara tunai daripada berhutang menerusi kad kredit.





6. Tunai setiap kali berbelanja

Tidak perlu rasanya untuk menggunakan kad kredit jika pembelian tersebut dalam jumlah kecil atau sederhana, misalnya membeli barangan keperluan harian. Jika berhasrat membeli kelengkapan rumah, jangan beli secara serentak jika anda tidak berkemampuan. Berbelanja mengikut tahap kemampuan dapat menyelamatkan anda daripada berhutang. Kemampuan membeli seseorang adalah setakat jumlah tunai yang sanggup dibayar.





7. Sediakan tabungan untuk barangan dihajati

Jangan tergesa-gesa untuk mendapatkan barangan impian anda. Jika anda berhajat untuk memiliki sesuatu barangan seperti kamera SLR tetapi masih belum mempunyai kewangan yang cukup, cubalah untuk bersabar. Kumpulkan kewangan anda secara bulanan misalnya rm300 sebulan, sehinggalah jumlah tersebut mencukupi untuk membeli kamera yang anda idamkan. Masalah hutang pasti tidak akan timbul.



Banyak juga tip-tip yang berguna untuk kita semua amalkan. Menabung adalah satu contoh yang baik. Semoga kita semua mendapat manfaat dan ilmu yang berkesan untuk diamalkan. Sampai di sini dahulu coretan saya. Ada masa saya menulis lagi... Assalamualaikum...


Sumber : mingguan wanita


Sabtu, 8 Ogos 2015

10 peraturan hijab dari kota singa (Singapura)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat sejahtera hendaknya. Hari ini hari sabtu, jadi kepala kereta api tidak berasap hari ini. Makan di rumah mentua sebab kakak ipar balik kampung. Hihihihihihihi..... Suasana juga redup sahaja. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa tetapi boleh tahan sejuk juga la.

Hari ini saya ingin kongsikan dengan anda mengenai peraturan memakai hijab atau pun dengan nama lain tudung tak pun selendang. Tip yang saya kongsikan ini berasal dari negara luar iaitu Singapura. Lain tempat, lain pula ragamnya, maka lain juga cara penggayaannya. Tidak salah pun untuk saling bertukar informasi dan idea. Jom kita sama-sama selongkar (teringat lagu selingkar kasih nyanyian Rem) isi peraturan utama yang ingin disampaikan untuk manfaat kita bersama-sama.




 Peraturan no. 1

Gayakan hijab mengikut bentuk wajah! Jangan tidak tahu, pemakaian hijab mampu menyerlahkan sisi kecantikan bentuk wajah anda. Kenali potongan bentuk wajah dan bergaya mengikut kesesuaian rupa paras anda. Sekiranya anda tahu apa kelebihan dan kekurangan anda, misalnya, jika anda punya dagu berlapis, terdapat trik untuk menyembunyikannya; dengan memastikan agar hijab digayakan menutupi gedabir dagu tersebut. Mudah, bukan ?




Peraturan no. 2

Adalah lebih disarankan agar menggunakan selendang yang berukuran sekurang-kurangnya dua meter supaya stail penggayaan anda tidak terhad. Apa jua stail yang tergambar di minda, boleh sahaja dipraktikkan. Jika tidak, pasti ada bahagian yang terdedah, bukan? Itulah yang kita mohon elakkan!






Peraturan no. 3

Elakkan penampilan yang sarat. Cuma, jika ingin sesuatu kelainan, riaskan hijabmu dengan pemakaian aksesori ringkas seperti cekak rambut elastik, klip rambut berbunga atau rantai labuh; sudah cukup memadai.




Peraturan no. 4

Mahu tampak lebih menonjol? Stailkan hujung selendang anda umpama lipatan-lipatan agar kelihatan lebih bulky.


Peraturan no. 5

Impikan hijab yang unik? Tidak perlu, berbelanja besar. Salah satu tipnya, adalah dengan mengikat hujung selendang dengan cincin dempak. Jadi, anda sahaja yang memiliki selendang seperti itu.... hanya anda! Kekreatifan anda bakal menguntungkan diri sendiri, setuju?



Peraturan no. 6

Sarungkan blazer atau jaket yang polos apabila menggayakan hijab dan blaus sarat bermotif untuk tujuan meneutralkan penampilan. Hijab boleh diselitkan sama ada ke dalam jaket ataupun di atas jaket; ikut kata hati anda. Selain tampil stailo, anda juga kekal sopan.



Peraturan no. 7

Pilihlah busana yang boleh digayakan baik siang meskipun malam hari. Sesuai ke tempat kerja, ia juga boleh digayakan ketika menghadiri majlis pada malam harinya. Maksudnya, pemilihan blaus dengan labuci sarat, tidak praktikal untuk ke pejabat; ia mungkin hanya serasi untuk ke parti atau majlis makan malam. Namun, jika anda mengenakan dres maksi polos beserta kardigan labuh, ia juga sesuai diguna pakai untuk acara di malam hari, anda hanya perlu tukar pilihan selendang agar serasi dengan tema. Jimat dan bijak, bukan?




Peraturan no. 8

Jangan lupa menyarungkan juga inner hijab di kepala. Ini akan memberikan keselesaan untuk bebas bereksperimentasi dengan kepelbagaian stail tanpa perlu risau sesetengah bahagian terdedah dan sebagainya.


Peraturan no.9

Gunakan hijab daripada bahan lembut, halus dan ringan seperti sifon untuk menyerlahkan efek femininmu! Ingin pertontonkan lebih kenyataan fesyen, tambahkan sahaja keronsang flora di sisi wajah ataupun sematkan sahaja di bahumu.




Peraturan no. 10

Usah hanya mengikut trend membuta tuli sahaja, tanya pada diri sendiri, sama ada ia 'kena' dengan jiwa atau tidak. Jika cerminan imej itu tidak melambangkan keperibadian diri sendiri, sebaik-baiknya lupakan sahaja.


Begitulah tip-tip atau peraturan tentang pemakaian hijab. Semoga memberi manfaat dan rujukan kepada anda semua. Sehingga bertemu lagi nanti... Assalamualaikum.

Sumber : Hijabista 2013