Bahayakah diri kita apabila menghadapi demam ketika berpantang?

Oktober 18, 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kembali kita pada petang yang indah dan damai ini. Di harap anda semua berada di dalam kesihatan dan keceriaan di samping keluarga. Apa yang anda semua lakukan apabila waktu petang begini? Saya lebih suka melihat pemandangan di luar rumah saya. Banyak benda saya dapat lihat. Sambil-sambil tu melayan karenah anak sulung yang semakin membesar dengan kecerdikan dan kenakalan. Hihihihihihihihi.....


Seperti mana yang pernah anda atau saya alami, demam ketika pantang biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman ketika proses kelahiran, oleh itu jangan pandang mudah. Bersegeralah berjumpa doktor. Ramai orang atau wanita menyangkakan bahawa demam ketika dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak adalah proses fisiologi yang biasa. Rupanya di dapati ramai yang hanya membeli ubat di farmasi dan tidak datang untuk melakukan pemeriksaan sehinggalah mereka benar-benar mengalami rasa sakit pada bahagian-bahagian tertentu atau mengalami demam yang terlalu tinggi.




Demam dalam 'tempoh pantang' ini adakalanya berbahaya jika ia adalah sebahagian kesan komplikasi proses melahirkan anak. Di bandar-bandar besar di mana kemudahan kesihatan mudah didapati, selalunya wanita yang demam sebegini dapat dirawat segera. Namun, bagi wanita yang tinggal di kawasan pendalaman dan jauh dari kemudahan kesihatan, demam sebegini boleh membawa maut. Saya sendiri turut mengalaminya. Saya cuba bersalin normal namun tidak berjaya dan terus di tolak ke dewan bedah untuk pembedahan kecemasan. Setelah selesai, pada malam itu, saya demam. Staff nurse yang bertugas, bergegas mencari panadol untuk diberikan kepada saya beserta dengan air milo. Selang beberapa jam kemuadian, Staff nurse tersebut datang kembali untuk memeriksa suhu tubuh saya. Alhamdulillah, sudah kembali normal.


Demam ketika pantang (Postpartum Fever) didefinisikan sebagai suhu badan yang melebihi 38.0 celcius pada sekurang-kurangnya dua hari dalam masa 10 hari selepas melahirkan bayi. Demam sebegini biasanya berlaku dalam masa 24 jam ketika berehat di rumah. Jadi, demam yang melebihi waktu itu selalunya disebabkan oleh masalah lain, berkemungkinan besar tidak ada kaitan dengan proses kelahiran.


Jangkitan kuman


Demam dan rasa sakit ini selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman yang boleh berlaku ketika proses kelahiran sama ada kelahiran normal melalui faraj (vaginal delivery) atau secara pembedahan Cesarean. Ia juga boleh berlaku di sepanjang tempoh menyusukan anak. Walaupun proses kelahiran bayi adalah proses fisiologi yang normal, namun tidak semua wanita dipermudahkan ketika menjalani proses kelahiran. Jadi, kecederaan fizikal boleh berlaku dan selalunya berlaku koyakan di sepanjang saluran kelahiran bayi, sama ada di pangkal rahim atau faraj terutama apabila bayi yang dilahirkan bersaiz lebih besar daripada yang dijangka.

Sesetengah wanita mempunyai luka daripada kecederaan itu yang tidak dapat disembuhkan dengan sendirinya kerana selepas kelahiran, banyak perubahan fisiologi yang membantutkan proses penyembuhan ini. Doktor Zubaidi Bin Haji Ahmad menceritakan pengalaman beliau semasa bekerja di wad bersalin di sebuah hospital awam di selatan tanah air. Seingatnya ketika itu, setiap hari terdapat antara 30 hingga 50 wanita yang melahirkan anak di wad itu dalam sehari. Dalam jumlah yang sebegitu ramai, kemudahan katil untuk digunakan semula oleh wanita yang melahirkan anak keesokan harinya amat tinggi. Selalunya wad akan penuh.

Jadi, mereka dibenarkan pulang ke rumah jika tidak mempunyai apa-apa komplikasi kelahiran yang nyata. Selepas bahagian abdomen dan faraj dipastikan tiada kapas atau jarum yang tertinggal, dan bayi yang dilahirkan telah kencing dan buang air besar, para ibu akan dibenarkan pulang untuk berehat di rumah. Malangnya kebanyakan wanita yang mengalami jangkitan kuman selalunya mengalami demam, merasa sakit pada bahagian tertentu selepas dibenarkan keluar dari hospital.




Oleh itu, selalunya kebanyakan jangkitan kuman hanya dapat dikesan selepas seorang wanita itu berehat di rumah. Dalam satu kajian yang dilakukan di UK, mendapati 94 peratus daripada kes jangkitan kuman ini didiagnosis selepas wanita dibenarkan keluar dari hospital. Dalam hal ini, ianya bukanlah suatu kecuaian pihak hospital. Lainlah jika wanita itu mempunyai demam tinggi semasa di wad dan dibenarkan pulang ke rumah tanpa rawatan.



Luka pada saluran sistem peranakan


Selalunya jangkitan kuman disebabkan oleh luka pada saluran sistem peranakan, sama ada di dalam rahim, pangkal rahim, faraj dan kulit sekitarnya. Jangkitan kuman pada lapisan endometrium dalam rahim (endometritis) selalunya menyebabkan sakit di bahagian abdomen dan bahagian ari-ari yang semakin hari semakin kuat. Ia jarang berlaku tetapi boleh berlaku apabila terdapat sisa uri yang tertinggal dalam rahim. Dalam hal ini, selain demam, sakit bahagian abdomen wanita juga mengeluarkan darah nifas yang berketul-ketul, berbau busuk dan tidak kering walaupun mendekati tempoh tamat nifas.




 Jangkitan kuman jarang berlaku pada luka di bahagian pangkal rahim, kerana selalunya pendarahan yang terlalu banyak selepas melahirkan anak membuatkan doktor segera merawat koyakan dan luka itu dengan menjahitnya. Jangkitan kuman biasa juga boleh berlaku pada luka pada faraj akibat kecederaan fizikal yang banyak semasa proses kelahiran. Walaupun telah dijahit dan diberikan antibiotik, oleh kerana luka di kawasan ini agak lembap, maka proses penyembuhan agak lambat dan mudah terdedah kepada jangkitan kuman.





Pesakit biasanya mengadu mengalami rasa sakit di kawasan itu dan adakalanya melarat di kawasan ari-ari di samping mengeluarkan lendiran dan darah nifas yang busuk. Kecederaan fizikal dan koyak juga boleh berlaku pada lubang pembukaan air kencing (external meatus). Selain itu, jangkitan kuman di kawasan faraj boleh merebak ke pundi kencing dan menyebabkan jangkitan kuman di situ. Oleh itu, jika mengalami rasa sakit ketika membuang air kencing, rasa kerap mahu ke tandas dan rasa tidak puas membuang air kencing, kemungkinan pundi kencing telah dijangkiti kuman.



Luka pembedahan dan bengkak payudara



Bagi wanita yang menjalani pembedahan cesarean untuk melahirkan anak, biasanya demam disebabkan oleh jangkitan kuman pada luka pembedahan cesarean. Selalunya luka pada jahitan cesarean menjadi sakit, merah dan mengeluarkan nanah selepas beberapa minggu jika tidak dirawat. Bagi wanita yang menyusukan bayi, masalah utama yang dihadapi ialah jangkitan kuman pada payudara menyebabkan payudara rasa sakit, bengkak dan tanda kemerahan pada payudara. Inilah juga punca demam bagi wanita yang baru melahirkan anak.




Sebab-sebab lain bagi demam ialah jangkitan pada paru-paru akibat komplikasi bius general anesthesia dan jangkitan kuman pada saluran darah vena yang dicucuk untuk diberikan IV drips.
Oleh itu, hendaklah sentiasa nasihatkan wanita yang baru melahirkan anak agar banyakkan rehat, minum air secukupnya dan jaga pemakanan. Sebarang tanda ketidakselesaan pada tubuh dan rasa demam haruslah segera berjumpa dengan doktor agar punca demam dapat dikesan segera dan diberikan rawatan yang bersesuaian.




Tanda-tanda jangkitan


Untuk memudahkan lagi, bagi wanita yang baru melahirkan anak, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan jika mengalami demam dan mempunyai tanda-tanda seperti berikut :



  • Sakit di bahagian tepi dan belakang. Rasa sakit dan kerap ketika membuang air kencing.

  • Rasa sakit, bengkak dan merah pada tempat dicucuk untuk IV drips.

  • Batuk, sakit dada dan sukar bernafas (ada kemungkinan mengalami jangkitan kuman di paru-paru).

  • Rasa demam dan menggigil.

  • Sakit di bahagian abdomen dan di bahagian ari-ari.

  • Mengeluarkan lendiran dan darah nifas (lochia) yang berbau busuk.

  • Payudara bengkak dan sakit.

  • Demam yang teruk bersama muntah dan tidak boleh makan dan minum.

  • Demam beserta sakit kepala yang berterusan bersama dengan pemandangan semakin terjejas.

Banyak juga info-info yang dapat kita sama-sama pelajari. Bahaya juga tau demam bila berpantang ni. Jangan ambil mudah pula tau. Kalau disebabkan oleh jangkitan kuman tu yang takut meebak ke tempat lain pula. Takut juga ni.... Kena berwaspada dengan setiap perubahan diri kita. Apa-apa pun, kena banyakkan berehat dan minum banyak air. Itu yang penting.


Sampai di sini dahulu coretan saya. Ada masa saya kongsikan lagi info-info dengan anda. Assalamualaikum.....


sumber: Anis mei 2012

http://drzubaidi.com/blog/demam-ketika-dalam-pantang-bersalin/


You Might Also Like

2 ulasan

  1. Alhamdulillah. Saya visit page Puan ini menggunakan desktop. Saya dapati video YouTube terkeluar dari page. Cuba Puan customize theme dan besarkan page width bagi memuatkan Video tersebut. Jika Puan bertujuan untuk jadikan website ini sebagai page jualan, pastikan ada butang "buy now" atau hapuskan apa jua yang berkemungkinan untuk menarik pelanggan keluar dari page ini seperti dengan memaparkan badge google follower mungkin akan menyebabkan pelanggan klik pada salah seorang dari mereka dan membuatkan mereka terkeluar dari page ini. Pada pendapat saya page Puan ini lebih ke blog iaitu perkongsian ilmu berkaitan. Ianya bagus untuk tujuan tambah kenalan. Insha Allah. Allah Maha Mengetahui. Untuk comment juga agak leceh kerana perlu melaui 2 peringkat verified. sebaiknya approve sahaja comment dari sesiapa tanpa verified dan apabila engagement dah banyak baru mulakan proses verified.

    BalasPadam
  2. Terima kasih di atas komen saudara. Saya tak berapa pandai sangat dalam bab2 hiasan ataupun untuk memudahkan sesiapa melawat blog saya. Saya akan cuba buat seperti mana saudara katakan tu. Apa-apa pun jutaan terima kasih kerana sudi menurunkan ilmu kepada saya.

    BalasPadam