7 Tip selamatkan diri dari cengkaman hutang

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Di harap anda sihat-sihat selalu walaupun di dalam musim hujan beserta ribut kencang. Dengar merata tempat juga ye bumbung di terbangkan oleh angin. Semoga keluarga yang terlibat selamat dan berada di dalam keadaan yang baik.





 Seperti mana tajuk yang saya coretkan, hari ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai hutang. Boleh dikatakan kebanyakkan dari kita mempunyai hutang. Hutang pembelian rumah, hutang kereta, hutang pinjaman dan sebagainya. Ada juga yang menggunakan kad kredit, walaupun mempunyai kebaikkan namun keburukkannya tetap ada. Namun, sikap alpa, boros dan tiada perancangan merupakan jerat utama yang membawa kepada perangkap hutang. Kita mungkin berhutang kerana ingin berbelanja mewah atau mendapatkan barangan impian sehingga terlupa akan permasalahan yang bakal timbul.





Akibatnya, sumber kewangan bukan sahaja semakin merosot, malahan pelbagai konflik akan timbul terutamanya bagi individu yang telah berkeluarga. Bagaimana untuk menyelamatkan diri daripada terus terperangkap dalam permasalahan hutang ini? Tip berikut mungkin boleh membantu anda:


1. Jangan berhutang untuk selamatkan tunai

Anda mungkin mempunyai sejumlah wang simpanan yang begitu banyak. Tetapi, anda begitu berkira untuk menggunakan wang ini untuk membeli barangan yang dihajati. Anda lebih teruja berbelanja secara bayaran ansuran yang pasti lebih tinggi jumlahnya berbanding bayaran secara tunai. Ada juga di antara kita yang gemar menggunakan kad kredit, sedangkan ketika itu mempunyai tunai yang mencukupi. Jika sikap ini dijadikan amalan, anda pasti akan berdepan dengan situasi sukar sekiranya jumlah hutang semakin meningkat.


2. Jangan berhutang untuk perkara yang remeh

Adakah anda merupakan seorang yang gemar menjadikan rakan-rakan sebagai 'bank' kala ingin mendapatkan barangan yang dihajati? Jika ini sikap anda, segeralah berubah. Perbuatan anda yang gemar meminjam seterusnya berhutang ini hanya akan menjerat anda kepada masalah kewangan yang lebih serius. Jika tidak mampu melangsaikannya, anda bukan sahaja akan kehilangan rakan, malahan tiada siapa lagi yang akan membantu anda.


3. Cari ikhtiar elak hutang

Jadikan hutang ini sebagai pilihan terakhir anda. Jika menginginkan sesuatu perkara, cuba cari ikhtiar atau jalan terbaik mencari sumber kewangan. Namun, jika sumber kewangan yang sedia ada masih tidak mencukupi, anda mungkin boleh mempertimbangkan semula untuk berhutang. Bagaimanapun, pilih sumber hutang yang terbaik dan tidak mempunyai kadar faedah yang tinggi.


4. Tangguhkan pengambilan hutang

Sebelum anda menurunkan tanda tangan pada surat perjanjian pinjaman, fikirkan ia secara lebih mendalam. Cuba bayangkan, apa yang akan berlaku pada diri anda sekeluarga jika hutang itu tidak mampu anda langsaikan. Anda mungkin akan kehilangan rumah, kereta, harta benda dan kemungkinan akan diisytiharkan muflis. Barangan anda terpaksa digadaikan demi melangsaikan hutang. Jika semua ini anda fikirkan, pasti anda akan menanguhkan pengambilan hutang tersebut.


5. Jangan miliki kad kredit

Fikirkan secara mendalam jika anda berhasrat untuk memiliki kad kredit. Adakah anda benar-benar memerlukannya, apakah tujuannya, adakah anda seorang yang boros, mampukah anda berdisiplin dan bolehkah anda menggunakannya secara bijak? Jika jawapannya negatif, maka lupakan sahaja niat anda untuk memiliki kad kredit. Lebih baik berbelanja secara tunai daripada berhutang menerusi kad kredit.





6. Tunai setiap kali berbelanja

Tidak perlu rasanya untuk menggunakan kad kredit jika pembelian tersebut dalam jumlah kecil atau sederhana, misalnya membeli barangan keperluan harian. Jika berhasrat membeli kelengkapan rumah, jangan beli secara serentak jika anda tidak berkemampuan. Berbelanja mengikut tahap kemampuan dapat menyelamatkan anda daripada berhutang. Kemampuan membeli seseorang adalah setakat jumlah tunai yang sanggup dibayar.





7. Sediakan tabungan untuk barangan dihajati

Jangan tergesa-gesa untuk mendapatkan barangan impian anda. Jika anda berhajat untuk memiliki sesuatu barangan seperti kamera SLR tetapi masih belum mempunyai kewangan yang cukup, cubalah untuk bersabar. Kumpulkan kewangan anda secara bulanan misalnya rm300 sebulan, sehinggalah jumlah tersebut mencukupi untuk membeli kamera yang anda idamkan. Masalah hutang pasti tidak akan timbul.



Banyak juga tip-tip yang berguna untuk kita semua amalkan. Menabung adalah satu contoh yang baik. Semoga kita semua mendapat manfaat dan ilmu yang berkesan untuk diamalkan. Sampai di sini dahulu coretan saya. Ada masa saya menulis lagi... Assalamualaikum...


Sumber : mingguan wanita


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara merawat penyakit GERD dengan kaedah semulajadi

Sakit telinga - Mari kita kenali punca dan rawatan yang sesuai

Tanda-tanda sakit jantung serta senaman yang dapat mengurangkan gejalanya.