Sabtu, 8 Ogos 2015

10 peraturan hijab dari kota singa (Singapura)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di harap anda semua sihat sejahtera hendaknya. Hari ini hari sabtu, jadi kepala kereta api tidak berasap hari ini. Makan di rumah mentua sebab kakak ipar balik kampung. Hihihihihihihi..... Suasana juga redup sahaja. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa tetapi boleh tahan sejuk juga la.

Hari ini saya ingin kongsikan dengan anda mengenai peraturan memakai hijab atau pun dengan nama lain tudung tak pun selendang. Tip yang saya kongsikan ini berasal dari negara luar iaitu Singapura. Lain tempat, lain pula ragamnya, maka lain juga cara penggayaannya. Tidak salah pun untuk saling bertukar informasi dan idea. Jom kita sama-sama selongkar (teringat lagu selingkar kasih nyanyian Rem) isi peraturan utama yang ingin disampaikan untuk manfaat kita bersama-sama.




 Peraturan no. 1

Gayakan hijab mengikut bentuk wajah! Jangan tidak tahu, pemakaian hijab mampu menyerlahkan sisi kecantikan bentuk wajah anda. Kenali potongan bentuk wajah dan bergaya mengikut kesesuaian rupa paras anda. Sekiranya anda tahu apa kelebihan dan kekurangan anda, misalnya, jika anda punya dagu berlapis, terdapat trik untuk menyembunyikannya; dengan memastikan agar hijab digayakan menutupi gedabir dagu tersebut. Mudah, bukan ?




Peraturan no. 2

Adalah lebih disarankan agar menggunakan selendang yang berukuran sekurang-kurangnya dua meter supaya stail penggayaan anda tidak terhad. Apa jua stail yang tergambar di minda, boleh sahaja dipraktikkan. Jika tidak, pasti ada bahagian yang terdedah, bukan? Itulah yang kita mohon elakkan!






Peraturan no. 3

Elakkan penampilan yang sarat. Cuma, jika ingin sesuatu kelainan, riaskan hijabmu dengan pemakaian aksesori ringkas seperti cekak rambut elastik, klip rambut berbunga atau rantai labuh; sudah cukup memadai.




Peraturan no. 4

Mahu tampak lebih menonjol? Stailkan hujung selendang anda umpama lipatan-lipatan agar kelihatan lebih bulky.


Peraturan no. 5

Impikan hijab yang unik? Tidak perlu, berbelanja besar. Salah satu tipnya, adalah dengan mengikat hujung selendang dengan cincin dempak. Jadi, anda sahaja yang memiliki selendang seperti itu.... hanya anda! Kekreatifan anda bakal menguntungkan diri sendiri, setuju?



Peraturan no. 6

Sarungkan blazer atau jaket yang polos apabila menggayakan hijab dan blaus sarat bermotif untuk tujuan meneutralkan penampilan. Hijab boleh diselitkan sama ada ke dalam jaket ataupun di atas jaket; ikut kata hati anda. Selain tampil stailo, anda juga kekal sopan.



Peraturan no. 7

Pilihlah busana yang boleh digayakan baik siang meskipun malam hari. Sesuai ke tempat kerja, ia juga boleh digayakan ketika menghadiri majlis pada malam harinya. Maksudnya, pemilihan blaus dengan labuci sarat, tidak praktikal untuk ke pejabat; ia mungkin hanya serasi untuk ke parti atau majlis makan malam. Namun, jika anda mengenakan dres maksi polos beserta kardigan labuh, ia juga sesuai diguna pakai untuk acara di malam hari, anda hanya perlu tukar pilihan selendang agar serasi dengan tema. Jimat dan bijak, bukan?




Peraturan no. 8

Jangan lupa menyarungkan juga inner hijab di kepala. Ini akan memberikan keselesaan untuk bebas bereksperimentasi dengan kepelbagaian stail tanpa perlu risau sesetengah bahagian terdedah dan sebagainya.


Peraturan no.9

Gunakan hijab daripada bahan lembut, halus dan ringan seperti sifon untuk menyerlahkan efek femininmu! Ingin pertontonkan lebih kenyataan fesyen, tambahkan sahaja keronsang flora di sisi wajah ataupun sematkan sahaja di bahumu.




Peraturan no. 10

Usah hanya mengikut trend membuta tuli sahaja, tanya pada diri sendiri, sama ada ia 'kena' dengan jiwa atau tidak. Jika cerminan imej itu tidak melambangkan keperibadian diri sendiri, sebaik-baiknya lupakan sahaja.


Begitulah tip-tip atau peraturan tentang pemakaian hijab. Semoga memberi manfaat dan rujukan kepada anda semua. Sehingga bertemu lagi nanti... Assalamualaikum.

Sumber : Hijabista 2013

2 ulasan:

mak jemah jual vitamin berkata...

memang banyak betul style hijab sekarang ni, dari fesyen bawal hinggalah ke instant shawl dan sebagainya. MJ suka tengok orang gayakan pelbagai jenis hijab ni cuma nak pakai sendiri tu kdang walau berangan nak berfesyen sikit tapi yang selalu dipakai adalah jenis yang tak payah gosok, tak payah nk pin hehe

suliana yusof berkata...

Betul tu sis. Tapi kadang-kadang terasa juga hendak bergaya bagai. Sekurang-kurangnya ada juga tip agar tak terbabas nanti apabila mengikuti arus fesyen nie. Hihihihihi...