Khamis, 2 Julai 2015

Perjalanan dengan kapal terbang semasa hamil adakah selamat?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kembali dengan topik yang baru pula. Mentang-mentang la saya sedang hamil, semestinya topik yang saya ke utarakan tu berkenaan dengan kehamilan. Cumanya ianya berkenaan dengan kapal terbang.

Seperti yang kita tahu, Bukan semua orang ibu hamil sesuai untuk menaiki kapal terbang. Terdapat beberapa kriteria yang tertentu untuk membolehkan ibu hamil menaiki kapal terbang. Perjalanan dengan kapal terbang boleh jadi meletihkan dan menyebabkan anda stres, terutama sekali apabila anda sedang hamil. Ikutilah tip-tip kami untuk membolehkan anda terbang dengan selamat dan gembira.

Selamatkah jika saya menaiki kapal terbang dalam trimester ke dua dan ketiga?

Ya, tetapi periksalah dengan doktor anda terlebih dahulu sekiranya anda mempunyai masalah kehamilan seperti:
  • pendarahan ringan (spotting)
  • kencing manis
  • tekanan darah tinggi
  • mabuk hamil yang teruk (hiperemesis gravidarum)
  • pernah mengalami keguguran
  • pernah melahirkan bayi pramatang

Trimester kedua, iaitu di antara minggu ke-14 dan ke-27 kehamilan, adalah masa terbaik untuk membuat perjalanan dengan kapal terbang. Ketika ini, masalah mabuk hamil sudahpun berlalu, anda cukup bertenaga dan juga kelihatan cantik.

Jika ini adalah bayi anda yang pertama, waktu inilah anda dapat meluangkan masa dengan suami atau rakan-rakan tanpa gangguan. Ini juga merupakan peluang terakhir bagi anda pergi bercuti tanpa perlu membawa banyak barang seperti kerusi bayi, kereta sorong, lampin, mainan dan makanan ringan. 

 Selamatkah untuk saya terbang dalam trimester ketiga?

Ya, tetapi ini juga bergantung kepada samada anda mempunyai sebarang masalah kesihatan semasa hamil. Periksalah dengan doktor anda dahulu.

Jika anda sihat dan kandungan anda juga tidak bermasalah, anda boleh terbang dengan kebanyakan syarikat penerbangan sehingga usia kehamilan anda 36 minggu, dan biasanya 32 minggu bagi mereka yang hamil anak kembar. Ingat, usia kehamilan diambil kira pada tarikh anda terbang pulang. Semaklah dengan syarikat penerbangan sebelum anda menempah tiket.

Ejen pelancongan dan syarikat penerbangan tidak akan bertanya samada anda sedang hamil ataupun tidak apabila anda menempah tiket. Tetapi sekiranya sudah jelas anda sedang hamil, anda mungkin disoal semasa mendaftar masuk. Oleh itu, dari minggu ke-27 ke atas, anda perlukan surat daripada doktor yang mengesahkan tarikh anda dijangka bersalin. Doktor juga perlu menyatakan dalam surat tersebut bahawa anda tidak berkemungkinan akan bersalin dalam penerbangan dan anda selamat untuk terbang. Semaklah peraturan-peraturan ini dengan ejen pelancongan atau syarikat penerbangan. Ia biasanya ada dinyatakan dalam laman web mereka. 

Pengimbas keselamatan di lapangan terbang membahayakan bayi dalam kandungan saya?


Tidak. Apabila anda berjalan melalui pengimbas keselamatan di lapangan terbang, anda bergerak melalui alat pengesan logam yang tidak membahayakan bayi dalam kandungan. Hanya bagasi anda sahaja yang akan melalui pengesan X-ray.

Perjalanan dengan kapal terbang membahayakan bayi dalam kandungan saya tak?

Tiada bukti yang menunjukkan bahawa perjalanan dengan kapal terbang boleh membahayakan bayi dalam kandungan. Tekanan dalam kabin tidak akan menjejaskan bayi anda.

Walau bagaimanapun, lebih baik jika anda mengelak daripada menaiki pesawat kecil yang tidak mempunyai tekanan dalam kabin. Ini kerana, oksigen semakin berkurangan pada altitud tinggi. Dalam pesawat kecil tanpa tekanan dalam kabin, badan anda perlu bekerja lebih kuat untuk membekalkan oksigen yang cukup kepada badan anda dan bayi.

Bagaimanakah saya dapat kekal selesa apabila terbang semasa sedang hamil?

Duduk diam untuk jangka masa yang panjang boleh membuatkan tapak kaki dan buku lali anda bengkak dan kaki anda kejang. Bergerak-geraklah kira-kira tiga hingga empat minit setiap sejam supaya darah dapat beredar dengan baik. Berjalanlah di sepanjang lorong tengah pesawat dan buatlah senaman regangan yang mudah.

Duduk atau berdiri, regangkan kaki, tumit dahulu, dan perlahan-lahan tarik tapak kaki untuk meregangkan otot-otot betis. Apabila sedang duduk, pusingkan buku lali dan gerak-gerakkan jari kaki. Pusingkan bahu ke kedua-dua arah, pusingkan leher dengan menjatuhkan telinga ke bahu dan perlahan-lahan pusingkan leher ke depan dan ke belakang. Ulangi kesemua senaman ini 10 kali.

Pilihlah tempat duduk bersebelahan lorong sekiranya boleh untuk memudahkan anda bangun dan membuat senaman-senaman tesebut. Untuk lebih selesa, anda boleh memilih tempat duduk premium atau di kelas pertama atau bisnes supaya ada lebih ruang untuk anda dan perut anda.

Jika kerusi di sebelah anda kosong, letak kaki anda di atas. Buka kasut, dan ingatlah bahawa tekanan dalam kabin boleh membuatkan tapak kaki anda bengkak semasa dalam penerbangan.

Terbang juga boleh membuatkan anda ternyahidrat kerana udara dalam kabin agak kering. Bawalah sebotol air bersama anda dan hiruplah dengan kerap.

Terbang ketika anda sedang hamil boleh meningkatkan sedikit risiko anda mendapat masalah thrombosis (darah beku) dan urat simpul. Memakai stoking mampatan (stoking penerbangan) semasa menaiki penerbangan dapat membantu mengekalkan peredaran darah yang baik. Pastikan anda beli saiz stoking yang sesuai dan pakai dengan betul. Pakai stoking tersebut sebelum anda bangun dari katil pada waktu pagi dan teruskan memakainya sehingga anda masuk tidur selepas penerbangan anda.

Jika anda nampak sebarang kebengkakan, lenguh-lenguh, lebam atau kemerahan pada kaki, terutamanya di bawah belakang lutut, dapatkan bantuan perubatan dengan segera. Ini boleh jadi tanda darah beku.

Bagaimana saya boleh rasa seronok terbang apabila saya sedang hamil?

Maklumkan kepada kakitangan penerbangan bahawa anda sedang hamil dan tanya sekiranya anda boleh dinaik taraf ke kelas yang lebih tinggi di mana ruangnya lebih besar dan anda boleh mendapat layanan yang lebih istimewa. Jika ini tidak dapat dilakukan, anda masih boleh menikmati penerbangan tanpa stres dengan cara:
  • Tiba awal di lapangan terbang supaya anda mempunyai banyak masa untuk mendaftar masuk dan melepasi kawasan keselamatan lapangan terbang. Jika anda rasa anda perlu bergegas ke pintu pelepasan, anda tidak akan rasa tenang dan ini bukanlah permulaan yang baik.
  • Mintalah tempat duduk bersebelahan lorong dalam kapal terbang supaya mudah bagi anda untuk bangun dan meregangkan kaki atau untuk pergi ke tandas.
  • Pakai pakaian yang longgar dan selesa dan kasut yang selesa. Laraskan tali pinggang keselamatan di bawah perut, menyilangi pelvis anda.
  • Pergilah ke tandas sebaik sahaja anda menaiki kapal terbang kerana bimbang kalau-kalau penerbangan tersebut terpaksa menunggu untuk berlepas dan anda tidak dibenarkan meninggalkan tempat duduk.
  • Minum banyak air masak atau air mineral dan jus buah-buahan. Jangan minum sebarang minuman yang boleh menyebabkan anda ternyahhidrat seperti teh, kopi dan alkohol.
  • Cubalah bertenang dan nikmati perjalanan dan percutian anda ini!
Inilah tip-tip yang boleh kita gunapakai jika ingin menaiki kapal terbang untuk pergi bercuti.

Kredit diberikan kepada http://www.babycenter.com.my/a1053061/adakah-selamat-menaiki-kapal-terbang-semasa-hamil.

Di sini saya sertakan sekali video yang memaparkan ibu hamil trimester ke tiga melancong ke luar negara. Saksikan la ye....





Ibu Hamil Kuat Boleh Naik Flight & Panjat Candi Borobudur! Fuyooo! from iReach HD on Vimeo.

Tiada ulasan: