Ahad, 12 Julai 2015

Pengendalian makanan di rumah secara selamat bagi mengelakkan keracunan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kembali setelah lama tidak menulis. Lama la sangat ye. Hihihihhihihi.... Semoga anda semua sihat hendaknya. Bagaimana dengan persiapan untuk menyambut aidilfitri? Saya beli awal-awal supaya tidak kelam kabut dibuatnya. Namun ada juga yang suka buat persiapan last minit. Katanya boleh dapat potongan yang banyak. Terpulanglah pada masing-masing ye.

Kali ini saya ingin berkongsi mengenai pengendalian makanan. Tahukah anda, seramai 76 juta orang menjadi mangsa keracunan makanan di seluruh dunia setiap tahun? Kebanyakkan kes keracunan makanan terjadi akibat daripada penyediaan makanan yang tidak selamat. Makanan akan menjadi tidak selamat apabila ia dicemari oleh kuman berbahaya atau toksin daripada kuman yang mencemari makanan tersebut.





Awas! Kajian menunjukkan bahawa dapur dan peralatan di dapur mengandungi kuman yang paling banyak di dalam sesebuah rumah. Contohnya, singki dapur di dapati mempunyai kuman 100 000 kali lebih tinggi berbanding bilik air.

Ingatlah! Dapur dan peralatan dapur perlu sentiasa berada di dalam keadaan bersih bagi mengelakkan sebarang pencemaran daripada berlaku. Amalkan 'clean as you go' setiap kali selepas menyediakan makanan bagi memastikan dapur sentiasa kekal bersih. Anda harus rancang untuk membersihkan keseluruhan dapur secara berkala bagi mengelakkan dapur menjadi sarang makhluk perosak.

Berikut adalah antara perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian bagi memastikan penyediaan makanan adalah selamat :


1- Membasuh tangan

Tangan kita merupakan salah satu agen untuk menyebarkan kuman. Oleh itu, pastikan tangan kita sentiasa dicuci dengan bersih iaitu :


a) Sebelum dan selepas mengendalikan makanan.

b) Selepas memegang makanan mentah seperti ikan, ayam dan daging.

c) Selepas menggunakan tandas.

d) Selepas mengendalikan sisa makanan.

e) Selepas menghembus hingus, menggaru kepala atau bahagian badan yang lain atau mengelap peluh.

f) Selepas mengendalikan bahan kimia yang beracun dan berbahaya.






2. Pra penyediaan

Keracunan makanan boleh berlaku akibat pencemaran silang. Pencemaran silang ialah makanan yang telah dimasak dicemari oleh bakteria daripada makanan mentah, peralatan yang kotor atau pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri.

a) Pastikan peralatan memasak berada di dalam keadaan yang bersih.

b) Gunakan kain lap yang berbeza bagi mengelap peralatan, kaunter dapur/meja, tangan.

c) Gunakan peralatan yang berasingan bagi makanan mentah dan makanan masak/makanan sedia dimakan.

d) Letak makanan yang telah dimasak dan makanan mentah di dalam bekas yang berasingan.

e) Makanan perlu dinyahbeku dalam tempoh masa yang cepat. Antara cara yang selamat untuk menyahbeku makanan adalah seperti berikut:

   - Meletakkan daging beku didalam bekas bertutup di bahagian paling bawah peti sejuk.

   - Meletakkan daging beku di dalam bekas yang kalis air di bawah air mengalir.

   - Menggunakan ketuhar gelombang mikro.

   - Elakkan daripada menyahbeku makanan beku di dalam suhu bilik (27darjah celcius).

   - Jangan bekukan semula makanan yang telah dinyah beku.






3. Memasak

a) Pastikan makanan di masak dengan secukupnya.

b) Bagi makanan yang disediakan dalam kuantiti yang besar, gaul makanan sentiasa bagi memastikan ia masak sekata atau masaklah dalam kuantiti yang kecil (small batch)


4. Penyimpanan makanan

a) Simpan makanan yang telah dimasak berasingan dengan makanan yang mentah.

b) Simpan mentega atau marjerin berasingan daripada ikan atau makanan laut yang lain bagi mengelakkan mentega atau marjerin berubah bau.

c) Letak bungkusan makanan di dalam bekas yang bertutup dan susun dengan elok di atas rak, almari atau kaunter dapur.

d) Makanan perlu disimpan mengikut jenis dan suhu yang betul.

e) Makanan sejuk beku perlu disimpan di dalam ruang sejuk beku di dalam bekas yang bertutup atau dibungkus di dalam bungkusan plastik.

f) Makanan panas perlu disejukkan kepada suhu bilik seberapa segera sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

g) Jangan simpan bahan kimia seperti bahan pencuci, racun serangga dan pewangi rumah bersama-sama makanan atau peralatan memasak.

h) Gunakan bekas berpenutup atau beg plastik untuk membungkus makanan sebelum disimpan.




5. Cara menghidang 

a) Tutup makanan yang dihidang.

b) Gunakan sudu, penyepit atau senduk untuk mengambil makanan.

c) Pastikan makanan panas  dihidang dalam keadaan panas dan makanan sejuk dihidang dalam keadaan sejuk.

d) Pastikan makanan tidak dihidang melebihi 2 jam pada suhu bilik.

e) Sekiranya perlu dihidang lebih daripada 2 jam, panaskan makanan tersebut setiap 2 jam.





6. Pencucian dan sanitasi

a) Cuci peralatan setiap kali sebelum dan selepas menyediakan makanan dan memasak.

b) Pastikan peralatan dibersihkan dan dibilas dengan secukupnya bagi mengelak pencemaran silang.

c) Gunakan tong sampah yang berpenutup dan dilapisi dengan plastik sampah.

d) Kedudukan tong sampah perlu jauh dari tempat menyimpan makanan.

e) Asingkan sisa makanan daripada sampah kering seperti plastik dan kertas.

f) Buang sampah dengan kerap bagi mengelakkan makhluk perosak.





7. Pengendali makanan 

a) Semasa menyediakan makanan, jangan amalkan amalan yang tidak baik seperti berikut:

   -  Merokok atau mengunyah gula-gula getah atau sireh.

   - Meludah ke dalam singki yang mengandungi makanan.

   - Batuk atau bersin ke arah makanan.

      ( Sekiranya tidak dapat dielak, tutp mulut dengan bahagian atas lengan/bahu. Jika menggunakan tangan, cuci tangan dengan bersih selepas bersin dan batuk.)

   - Menggaru kepala dan bahagian badan lain.

   - Mengorek hidung atau telinga.

      ( Sekiranya tidak dapat dielakkan, cuci tangan dengan bersih selepas mengorek hidung atau telinga.)

   - Menjilat jari

   - Merasa makanan dengan jari

   - Menghembus ke arah makanan, atau ke dalam beg/bekas yang mengandungi makanan.

   - Mengunakan peralatan yang telah pecah atau retak.

   - Mengunakan bekas bahan kimia, untuk meletak atau menyimpan makanan.

   - Menggunakan kertas yang bercetak seperti surat khabar atau majalah untuk membungkus makanan.






Wah! banyak juga yang perlu kita perhatikan dan lakukan apabila kita mengendalikan makanan. Bukan apa, ini bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti keracunan makanan. Tip-tip di atas boleh kita gunakan semasa meenyediakan makanan untuk hari Raya yang bakal menjelang tiba. Kebersihan dari semua segi harus dititikberatkan.

Sampai di sini dahulu coretan saya. Ada masa saya menulis lagi.... Assalamualaikum.


Sumber :http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/pemakanan/keselamatan-a-kualiti-makanan/pengendalian-makanan-di-rumah-secara-selamat





Tiada ulasan: