Selasa, 23 Jun 2015

Simptom selepas bersalin yang tidak boleh anda abaikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Diharap anda semua yang membaca blog saya ini sihat sejahtera hendaknya. Hari ini tiada apa yang istimewa sangat pun. Cuma saya berkenan dengan artikel yang bertajuk seperti di atas.

Seperti mana yang kita ketahui, Sedikit pendarahan, ketidakselesaan dan keletihan adalah perkara biasa selepas melahirkan bayi, dan sedikit usaha untuk membantu diri biasanya cukup bagi mengatasinya.


Walau bagaimanapun, kadang kala situasi kecemasan boleh berlaku dalam beberapa hari atau minggu selepas bersalin. Rawatan segera mungkin boleh mengelakkan penyakit menjadi teruk dan mempercepatkan pemulihan anda.

Selepas bersalin, tanyalah doktor anda bagaimana cara dan bila anda boleh dapatkan rawatan perubatan kecemasan sekiranya anda memerlukannya. Pastikan butiran itu ditulis di tempat yang selamat dan ahli keluarga anda tahu tempatnya. Bagus juga jika anda memaklumkan semua orang di mana anda menyimpan nota anda. Sekiranya berlaku kecemasan, ini dapat membantu kakitangan ambulan memberi rawatan yang sepatutnya dengan segera.

Senarai berikut akan membantu anda mengenalpasti sama ada anda memerlukan rawatan serta-merta ataupun boleh menunggu sehingga waktu kerja biasa. Jika terdapat sebarang keraguan, hubungi doktor anda dengan segera.

Di sini saya sertakan beberapa keadaan yang memerlukan rawatan kecemasan dengan segera ke hospital jika berlaku simptom-simptom seperti :

  • Kehilangan banyak darah atau ia berlaku tiba-tiba
    Ini mungkin disertai tanda-tanda kejutan, seperti denyutan jantung yang pantas, pening kepala, berpeluh dan rasa seperti hendak pitam. Kehilangan banyak darah melalui faraj adalah pendarahan postpartum (tumpah darah selepas bersalin) dan anda mesti dapatkan bantuan dengan segera. 



  • Sakit kepala yang teruk atau berpanjangan
    Ini mungkin kesan sampingan suntikan epidural dan anda patut berjumpa doktor secepat mungkin. Dalam 72 jam pertama selepas bersalin, sakit kepala yang teruk juga mungkin tanda pra- eklampsia yang boleh berlaku selepas atau sebelum bersalin. Jika anda mengalami pra-eklampsia, anda juga mungkin mengalami penglihatan kabur dan/atau berasa loya.








  • Tekanan darah tinggi
    Tekanan darah anda patut diambil dalam masa enam jam pertama selepas bersalin. Jika angka di bawah (diastolik) melebihi 90, ini mungkin tanda anda mengalami pra-eklampsia dan berisiko menghidap eklampsia sepenuhnya. Anda patut berjumpa doktor dengan segera dan jika perlu, dimasukkan ke hospital. Tambah membimbangkan jika anda juga ada tanda-tanda lain pra-eklampsia seperti sakit kepala, penglihatan kabur atau berasa loya.




  • Nafas pendek
    Nafas pendek biasa berlaku jika anda melakukan sesuatu yang aktif seperti mendaki bukit. Tetapi jika anda berasa sesak nafas dan ianya tidak pulih walaupun selepas anda berehat, ia mungkin tanda embolisme pulmonari (apabila darah beku tersekat pada salah satu saluran darah di paru-paru).

  • Sakit dada
    Jika anda mengalami kesakitan pada dada, ia mungkin disebabkan oleh jangkitan dada atau ketegangan otot tegang akibat meneran semasa bersalin. Namun begitu, ia juga mungkin tanda sejenis embolisme pulmonari dan tidak harus diabaikan. Jika anda mengalami kesakitan, sesak nafas atau batuk berdarah, anda mesti segera pergi ke hospital.























  • Sakit betis
    Kesakitan pada betis mungkin adalah trombosis vena dalam (deep vein thrombosis – DVT). Ini adalah pembekuan darah pada vena dalam otot dan ia boleh membawa maut. Kadang-kala anda juga mungkin nampak tanda merah, bengkak dan/atau suhu badan yang tinggi sedikit.
  • Berfikir hendak membunuh diri
    Jika anda dapati diri anda memikirkan tentang kematian atau membunuh diri, hubungi doktor anda dengan segera atau berbincanglah dengan ahli keluarga anda supaya mereka boleh dapatkan bantuan untuk anda.
  • Berkelakuan kurang siuman, termasuk insomnia dan mudah rasa gelisah
    Selepas melahirkan bayi, sesetengah ibu mengalami perubahan dramatik pada kesihatan emosi dan mental mereka. Kekacauan pemikiran, terlalu mudah rasa gelisah, kekeliruan dan delusi boleh jadi permulaan sejenis keadaan kesihatan yang jarang berlaku, dikenali sebagai psikosis puerperal. Jika ini berlaku, sangat penting bagi anda mendapat rawatan segera dan bantuan yang anda perlukan.


  • Demam yang sangat panas (38 darjah C)
    Demam panas boleh disertai menggigil dan ia adalah satu tanda jangkitan. Selepas bersalin, anda boleh jatuh sakit dengan teruk dalam masa yang singkat jika anda mengalami jangkitan yang tidak dirawat segera. Tempat yang mudah terkena jangkitan ialah pada jahitan atau rahim anda.

  • Tidak dapat membuang air kecil dalam enam jam pertama selepas bersalin
    Jika anda tidak membuang sejumlah air kencing yang memuaskan dalam masa ini, anda mungkin mengalami masalah air kencing bertakung. Semasa anda di hospital, jururawat akan memerhatikan jumlah air kencing yang keluar. 

Selain daripada itu, terdapat juga tanda-tanda yang biasa yang mana anda boleh bertangguh untuk ke hospital.tetapi anda harus memberitahu kepada doktor juga. Tanda-tanda tersebut ialah :

  • Rembesan faraj yang berbau busuk
    Ini boleh jadi tanda terdapat jangkitan pada rahim atau faraj.

  • Perut yang sakit
    Ini juga mungkin satu tanda jangkitan. Anda mungkin berasa sakit pada luar perut di sekeliling jahitan jika anda menjalani pembedahan caesarean. Ia juga mungkin di dalam rahim, kerana tempat plasenta tertanggal adalah suatu luka yang perlu sembuh. Jika jangkitan dalam rahim tidak dirawat, ia boleh meningkatkan risiko anda mengalami pendarahan postpartum (lihat atas).

  • Buasir yang teruk atau bengkak
    Walaupun buasir adalah perkara biasa, kadang-kadang ia bengkak terlalu besar dan sakit selepas anda bersalin. Buasir adalan urat darah di dalam dubur yang bengkak, tetapi ia boleh terunjur keluar. Ini dikenali sebagai rembung. Anda mungkin juga akan mengalami sedikit pendarahan.

  • Sugul bayi yang tidak hilang selepas 10 hari
    Jika menjelang hujung minggu kedua selepas bersalin anda masih berasa pilu, murung, cepat marah dan tidak berasa seronok menjadi seorang ibu, anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin. Penting bagi anda bercakap dengan doktor mengenainya.

  • Sakit yang teruk pada perineum (kawasan di antara faraj dan dubur), mungkin disertakan air kencing yang memedihkan dan/atau berbau busuk
    Ini mungkin jangkitan pada jahitan atau jangkitan air kencing. Penting bagi doktor memeriksanya untuk memastikan sama ada perineum anda sembuh dengan elok. Ia juga mungkin haematoma, atau lebam besar, pada tisu faraj anda.

  • Punggung bocor
    Keperluan untuk meluru ke tandas adalah biasa selepas bersalin, tetapi jika anda terbuang air besar sebelum berjaya sampai ke tandas, itu mungkin tanda peninjaan tak terkawal (keadaan di mana seseorang itu tidak dapat mengawal buang air besar). Beritahulah dengan doktor anda dengan segera. 

Wah! banyaknya simptom-simptom yang tidak boleh kita buat tidak peduli sahaja.Sebab itulah, kita perlu sentiasa peka dengan keadaan diri kita. Sentiasa membuat pemerhatian dan banyakkan membaca. Sekarang mudah sahaja, semua di hujung jari sahaja. Tidak perlu susah-susah hendak keluar.

Kredit diberikan kepada  http://www.babycenter.com.my

Beberapa hari ini saya akan kerap update tentang kehamilan sebab saya pun kurang faham tentang proses kehamilan dan penjagaan selepas bersalin. Jika ada sebarang pertanyaan, mari kita sama-sama kongsi pengalaman atau petua-petua orang dulu-dulu. Sekian dahulu dari saya.




Tiada ulasan: