Isnin, 29 Jun 2015

7 tip berehat untuk wanita yang sibuk dengan kerjaya

Assalamualaikum. Diharap anda semua sihat sejahtera hendaknya. Hari ini hari ke 12 ramadhan. Cepat sungguh masa berlalu. Serasa baru semalam kita mula berpuasa. 

Pada hari ini, saya ingin berkongsi satu tajuk yang sangat sesuai untuk wanita masa kini termasuk juga dengan saya. Siapa kata tugas wanita mudah? Lihat sahaja wanita berkerjaya dan mempunyai keluarga. Mereka sibuk melakukan pelbagai tugas bagi memastikan semuanya berjalan mengikut perancangan. Ada ketika, hendak rehat pun tak cukup masa kerana terkejar-kejar menyelesaikan beberapa perkara yang difikirkan penting. Mana hendak mengurus anak ke sekolah, mengemas rumah, hal-hal pejabat dan macam-macam lagilah.


Pendek cerita, wanita adalah superpower yang tidak mampu disangkal lagi. Sungguhpun sibuk dengan kerja, mereka juga berhak mendapat waktu peribadi untuk diri sendiri. Jika tidak, semestinya tekanan menguasai keadaan sekaligus merosakkan segala 'mood' dan keseronokan.
Bagaimanakah cara terbaik melaksanakannya? Berikut adalah kaedah yang boleh dipraktikkan:


1. Tidur lewat, masa untuk suami
Sekali-sekala anda dibolehkan tidur lewat. Mungkin inilah sahaja masa yang paling sesuai untuk anda memanfaatkan bersama suami. Tatkala anak-anak sudah tidur, luangkan waktu untuk berbual dan 'bercinta' semula dengan suami. Setidak-tidaknya, suami merasa dirinya masih diperlukan dan disayangi sekalipun anda sentiasa sibuk dengan kerja dan hal-hal rumahtangga.


2. Terangkan kesibukan pada anak
Anak-anak perlu diajar dan difahamkan mengenai situasi anda yang sibuk. Pada masa yang sama, beritahu mereka bahawa anda perlukan sedikit waktu rehat untuk melelapkan mata bagi menghilangkan penat. Lama-kelamaan anak-anak pasti dapat menerima mesej yang anda ingin sampaikan. Di sinilah nikmatnya berehat tanpa gangguan walaupun mata tidak dapat dilelapkan.


3. Rajinkan diri bersenam
Sedikit senaman ringan dikatakan mampu menghilangkan rasa penat di badan. Tekanan yang terbeban mampu dilunturkan dengan gerak senam yang dilakukan paling tidak 30 minit sehari. Pastinya selepas ini anda akan peroleh tidur yang lebih lena dan menyenangkan.



4. Bijak pilih rancangan
Bukan semua rancangan televisyen mendatangkan manfaat buat anak-anak. Sekiranya ingin berehat dihadapan televisyen tanpa gangguan maka pilihlah rancangan yang dirasakan sesuai dan berinfomasi untuk mereka. Program televisyen berbentuk kartun dengan muzik yang relaks pasti menangkap tumpuan mereka duduk diam menontonnya.


5. Makan bersama keluarga
Natalie Gahrmann yang merupakan seorang perunding keluarga menyatakan makan bersama adalah aktiviti yang menyeronokkan selain berupaya merapatkan hubungan antara satu sama lain. Pada masa yang sama, anda juga boleh merehatkan kepala tatkala melihat anak-anak dan suami bergurau senda dan bertukar cerita mengenai perkara yang dilakukan.


6. Baca buku kurangkan penat
Luangkan sedikit masa membaca buku-buku kegemaran kerana ia merupakan terapi sekaligus penawar bagi menghilangkan keletihan setelah seharian bekerja. Dikatakan membaca sehingga lewat malam pada hari-hari minggu mampu merehatkan minda seterusnya merehatkan tubuh yang kepenatan.


7. Buat kerja bersama
Ketika anda membersihkan rumah, mintalah bantuan suami menjaga anak-anak. Nikmatilah saat tersebut dengan tenang dan jadikan ia sebagai rutin mingguan. Walaupun nampak penat kerana mengemas tetapi ia sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan kerana anda dan suami melakukan kerja bersama-sama. Lagipun istilah 'rehat' mempunyai terjemahan yang pelbagai, jadi lakukan sahajalah.
 


Wah! Sangat bagus tip-tip yang saya kongsikan ini ya. Saya pun hendak mencuba juga la. Adakala saya tidak terfikir pun disebabkan minda yang tidak mampu mencernakannya akibat beku. Hahahahaha......

Untuk kali ini, setakat ini dahulu ye. Sumber saya perolehi daripada mingguan wanita 2014.

Tiada ulasan: