10 tip mudah bina persahabatan dengan kawan baru.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bertemu kembali setelah seminggu menyepikan diri. Bukan apa, sibuk dengan urusan kenduri dan urusan keluarga. Tambahan pula cuti sekolah masih lagi berjalan. Tak sempat nak berjalan-jalan makan angin. Apa-apa pun, menulis sentiasa bertahta dihati. Eh! Macam lagu Faradhiya pulak........

 Kali ini saya ingin mengenengahkan tajuk tentang persahabatan. Tentunya anda mempunyai sahabat bukan? Sahabat yang sentiasa bersama suka dan duka. Kehidupan tidak selalunya diwarnai dengan keindahan. Adakalanya mendung berarak melitupi keindahan matahari. Begitulah lumrah kehidupan kita ini. Sekarang, mari kita lihat bagaimana ingin mewujudkan sebuah persahabatan yang sebegitu? Di sini ada tip-tip yang boleh kita amalkan bersama-sama.



1. Pandangan pertama
Pandangan pertama adalah penting kerana orang cenderung untuk menghakimi orang lain berdasarkan tanggapan pertama tersebut. Beri perhatian kepada kebersihan peribadi dan pakaian anda. Anda tidak perlu kelihatan mewah atau berlebih-lebihan tetapi cukup hanya dengan berpenampilan kemas dan bersih.
 

2. Senyuman
Senyuman adalah satu tanda yang menunjukkan bahawa anda mesra dan mempunyai niat yang baik. Ia juga menunjukkan bahawa anda mempunyai personaliti positif yang menjadi tarikan kepada kebanyakan orang. Jika anda mempunyai masalah untuk senyum, cuba memikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda rasa bahagia.

3. Kejujuran
Belajarlah menjadi seorang yang jujur. Saling percaya-mempercayai menjadikan hubungan persahabatan yang dijalinkan akan berjaya. Sebaiknya, buang jauh-jauh sikap bermuka-muka kerana ianya sikap negatif yang boleh merenggangkan persahabatan.
 

4. Pendengar yang baik
Jadilah pendengar yang baik. Ini adalah salah satu perkara penting ketika bertemu sahabat baru. Apabila anda memberikan perhatian kepada perbualannya, anda membuatkan orang itu berasa penting. Pandang matanya ketika berbicara dan beri tindak balas terhadap apa yang disampaikan. Jangan biarkan sahabat anda bercakap seorang sahaja kerana perbualan tersebut akan menjadi sangat membosankan.
 

5. Bertolak-ansur
Saling bertolak-ansur juga merupakan satu faktor penting untuk membina sebuah perhubungan. Sifat begini akan memberi manfaat pada diri anda dan sahabat anda. Namun usahlah mengharapkan hanya orang lain sahaja yang perlu bertolak-ansur dengan anda kerana kedua-dua pihak harus saling bertolak-ansur.
 

6. Kesetiaan
Kesetiaan terhadap seorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun anda jarang bertemu. Apabila anda setia terhadap sahabat, anda akan diingati sehingga akhir hayat mereka. Ini kerana tidak kira susah atau senang, anda setia berada di sisi untuk memberi sokongan.
 

7. Kegembiraan
Berkongsilah kegembiraan yang ada bersama sahabat-sahabat tercinta. Kegembiraan dapat mengeratkan sesebuah hubungan persahabatan. Malah kesedihan yang dilalui juga boleh dikongsi bersama kerana dirinya akan rasa lebih dihargai dan penting bagi anda.
 

8. Keserasian
Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah SWT berbeza-beza. Namun, dalam persahabatan, keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman di antara dua pihak. Jangan biarkan perbezaan pendapat menghancurkan persahabatan tersebut.
 

9. Gurauan
Gurauan memang indah dalam menjadikan sesebuah perhubungan bertambah baik. Gurauan juga membuatkan anda dan sahabat menjadi mudah mesra. Namun, awas! gurauan yang melampau boleh mewujudkan suasana yang janggal dan tidak selesa pada sahabat anda.
 

10. Memaafkan
Jangan sesekali biarkan luka berkembang menjadi barah kerana hal ini akan menghancurkan sesebuah persahabatan. Maafkan kesalahan yang dibuat oleh sahabat anda kerana setiap orang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.


Wah! Banyak tip yang membina diri sendiri supaya orang atau kawan baru mudah melekat kepada diri kita. Jadi, kita harus betulkan diri kita dahulu. Bukan mudah mencari sahabat yang sejati. Sekurang-kurangnya kita tetap mempunyai sahabat. Walaupun tidak seramai mana pun, sahabat tetap akan sentiasa disisi. Saya pun ada juga seorang sahabat. Walaupun berlainan negeri, itu tidak bermakna kami tidak berhubung. 


Sekarang sudah moden, pelbagai aplikasi canggih telah disediakan. Hanya perlu digunakan sahaja.
Sampai di sini dahulu penulisan saya. Di harap dapat memberi sedikit panduan kepada anda. 
Sumber saya perolehi daripada majalah Rapi Januari 2015.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara merawat penyakit GERD dengan kaedah semulajadi

Sakit telinga - Mari kita kenali punca dan rawatan yang sesuai

Tanda-tanda sakit jantung serta senaman yang dapat mengurangkan gejalanya.